Skip to main
Logo Malaysiakini

PTVM, DCAM rasa hina asyik merayu kerajaan izin penggambaran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rayuan demi rayuan yang dikemukakan penggiat seni untuk meneruskan kelangsungan hidup semakin dirasai membebankan, memalukan serta dianggap penghinaan sekiranya permohonan mereka masih tidak diendahkan.

Justeru, kali ini Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Pertubuhan Pencipta Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM) amat berharap agar mereka diberikan talian hayat oleh menteri baru, Annuar Musa.

Menggunakan surat rasmi kepada menteri komunikasi dan multimedia itu PTVM dan DCAM memohon diberi kebenaran beroperasi.

Melalui surat bertarikh 1 Sept lalu dan ditujukan kepada Annuar, Presiden PTVM, Jurey Rosli, dan Presiden DCAM, Mohd Ghazzali Abu Bakar merayu ahli parlimen Ketereh terbabit membantu mendapatkan kebenaran untuk aktiviti penggambaran dijalankan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami mewakili warga produksi tanah air dari semua peringkat merayu kepada Tan Sri agar mencari kaedah untuk kami boleh beroperasi semula selaras dengan pembukaan sektor ekonomi yang lain.

“Kami mahu berkerja dan tidak mahu terus memekik meminta bantuan.

"Kami malu apabila terus kedengaran warga produksi seperti kru dan artis terus memohon bantuan dan merayu ke sana sini, sampai ke tahap perlukan bantuan makanan untuk hidup. Ini terlalu hina rasanya," kata mereka.

Jurey dan Mohd Ghazzali juga berharap Annuar menjadi pembela mereka dengan segera menyelesaikan kemelut yang dialami sejak lebih setahun lalu.

"Kami yakin dengan reputasi Tan Sri sebagai orang yang cepat bertindak dan cepat membuat keputusan adalah orang yang terbaik menyelesaikan kemelut ini," kata mereka.

Mereka menambah PTVM dan DCAM bingung apabila sektor itu terus ditutup sedangkan sektor lain dibenarkan beroperasi di kawasan Fasa 1 perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kami hairan industri seni tidak dibenarkan melakukan kerja utama iaitu penggambaran (kecuali di negeri-negeri Fasa 2 dan ke atas) namun sektor lain terus dibenarkan beroperasi hatta di dalam kawasan Fasa 1.

“Ia seperti kedai mencuci kereta, kedai gunting rambut pasar raya, restoran dan juga pasar malam tanpa SOP yang terlalu ketat seperti yang dikenakan kepada kami,” katanya.

Persatuan berkenaan pada masa sama mempertikaikan syarat ketat penggambaran ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang didakwa tidak masuk akal dan disifatkan pilih kasih (double standard).

“Jika ingin membuat penggambaran, kami perlu mematuhi syarat-syarat Surat Perakuan Penggambaran (SPP) khas dan ketat oleh Finas.

“Namun, paling menghairankan ialah kami hanya dibenarkan beroperasi di kawasan Fasa 2 sedangkan sektor lain telah dibuka walaupun di kawasan Fasa 1 serta tanpa perlu mematuhi SOP yang terlalu ketat seperti syarat-syarat SPP khas Finas itu.

“Kenapa ada amalan double standard di sini?” katanya.

Selain itu, PTVM dan DCAM yakin aktiviti penggambaran adalah berisiko rendah apabila tidak melibatkan pelanggan atau individu yang datang secara tiba-tiba.

“Semua faktor adalah terkawal dan tiada orang atau pelanggan yang walk in yang kita tidak tahu datang dari mana.

“Selaras dengan pelepasan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin, kami rasa pelepasan itu seharusnya juga melibatkan kerjaya kami.

“Lagi pun rasanya kita tidak boleh tunggu sehingga Covid-19 ni reda lebih-lebih lagi kerana umum tahu dan ramai saintis mengesahkan wabak ini akan terus berada dalam komuniti sampai bila-bila dan kita hanya perlu mengawal dan menanganinya dengan cermat dan bijak,” katanya.