Skip to main
Logo Malaysiakini

Neelofa saran sertakan gambar pemilik pada sijil vaksin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebagai langkah berjaga-jaga daripada cubaan penipuan, Neelofa mencadangkan agar sijil digital vaksinasi Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera turut disertakan dengan gambar pemiliknya.

Selebriti dan usahawan itu berkata demikian kerana menyifatkan “ramai yang tidak jujur" dalam soal sudah lengkap divaksinasi atau tidak.

“Cadang untuk letakkan juga profil foto di sijil…sebab ramai yang tak jujur,” katanya di Instagram hari ini.

Cadangan pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu diiringi dengan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung syarat wajib yang ditetapkan kepada peniaga sebelum membenarkan orang ramai memasuki premis mereka.

KPDNHEP itu sebelum ini memberi peringatan di Facebook agar peniaga memastikan setiap pelanggan dibenarkan masuk ke premis hanya selepas menunjukkan bukti digital vaksinasi lengkap dari aplikasi MySejahtera dan bukannya tangkap layar.

“Pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis jualan mesti menunjukkan kad atau sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” menurut hantaran itu.

Ia bertujuan mengelakkan penyamaran atau penipuan oleh individu yang belum divaksin dengan lengkap.

Langkah itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada negeri-negeri fasa 1 dan fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.