Skip to main
Logo Malaysiakini

Amira sanggup cabar diri jadi hantu asalkan tutup aurat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Meskipun lebih dikenali dalam bidang nyanyian berbanding lakonan, Amira Othman mengakui tidak akan menolak sekiranya diberikan tawaran untuk menjayakan naskhah yang memerlukan dia memegang watak hantu, asalkan menutup aurat.

Pun begitu, kata Amira, tetap timbul perasaan gemuruh untuk melakonkan watak sedemikian yang tidak pernah dilakukan sepanjang dia terbabit dalam bidang lakonan.

“Sekiranya ada produksi atau pengarah tawarkan watak hantu, Mira akan pertimbangkan.

"Berdebar-debar juga jika ada yang minta Mira bawakan watak macam tu tapi menariknya, ia akan jadi watak hantu yang pertama kali Mira lakonkan.

"Mira rasa ia sesuatu yang menarik untuk diteroma. Justeru, jika diberi watak hantu tapi masih boleh tutup aurat, Mira OK saja,” katanya.

Kata penyanyi Hati-Hati itu, dia mahu mencabar dirinya dengan watak seumpama itu.

“Selagi tak cuba, Mira tak akan tahu dan ketakutan hanya akan halang Mira untuk lakukan sesuatu yang luar biasa dalam hidup,” katanya.

Pemilik nama penuh Nadia Amira Othman itu berkata demikian pada sidang media bagi mempromosi single terbarunya, Tragedi, yang berlangsung secara maya hari ini.

Lagu dihasilkan pada 2011

Untuk rekod, melodi Tragedi mendapat sentuhan komposer Sharon Paul, manakala liriknya nukilan Amira sendiri.

Lagu tersebut dipilih menjadi runut bunyi Malaysian Ghost Stories, sebuah drama bersiri berkisahkan alam mistik legenda yang sering diceritakan turun-temurun dalam pelbagai versi rakyat Malaysia.

Drama bergenre seram arahan tiga pengarah iaitu Azhari Zain, Izuan Moktar dan Eoon Suhaini itu mula ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam sejak 25 Ogos lalu dan dijadual bersiaran selama 48 episod di Astro.

Amira, 27, berkata sememangnya produksi Malaysian Ghost Stories ada bertanyakan sama ada dia berminat untuk menyertai barisan pelakon drama bersiri itu yang antaranya menampilkan Zahiril Adzim, Janna Nick dan Ara Johari.

Dia yang popular menerusi fenomena drama bersiri bertajuk Abang Bomba I Love You itu berkata, bagaimanapun semua tawaran masih tertakluk mengikut kesesuaian jadualnya bekerja.

“Produksi minta Mira berlakon untuk satu babak tapi belum tahu lagi Mira akan diberikan watak apa. Jika tawaran sesuai dengan jadual, menarik juga,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Tragedi, Amira berkata, lagu itu mula dihasilkan pada 2011 namun naskhah itu tidak diterbitkan kerana dia belum berkecimpung sebagai seorang penyanyi profesional.

“Lagu berkenaan dicipta sebelum Mira sertai Akademi Fantasia musim ke-10. Ketika tu Mira berangan-angan nak jadi penyanyi.

“Sebenarnya ramai kenalan dari Universiti Teknologi Mara tak sabar tunggu Mira terbitkan Tragedi. Tapi masa tu Mira tak yakin dengan kebolehan lagu ni,” katanya.

Kebetulan pula, katanya, Izuan juga adalah antara kenalan yang diberi kesempatan untuk mendengar lagu tersebut.

Amira berkata, dia kemudian menerima panggilan daripada Izuan yang menyatakan keinginannya untuk menggunakan Tragedi sebagai OST Malaysian Ghost Stories.

“Asalnya, Mira anggap tak ada rezeki Tragedi nak disiarkan pada 2012. Baru tiga bulan single Surat Akhir dilancarkan, tiba-tiba Mira terima panggilan daripada Astro yang menyatakan mereka berminat untuk menggunakan Tragedi sebagai OST drama berkenaan,” katanya.