Skip to main
Logo Malaysiakini

GSC, TGV teruja sambut kaki wayang mulai 9 Sept

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengumuman kerajaan yang membenarkan pawagam beroperasi kembali mulai 9 Sept ini melegakan dua operator premis hiburan terbesar Malaysia, Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas.

Kebenaran yang diberikan itu diharap dapat menghidupkan kembali sektor yang mengalami kerugian besar selepas setahun ditutup ekoran pandemik Covid-19. 

Pengurus Penjenamaan dan Perhubungan Awam GSC, Mohd Sharmine Ishak, berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan serta teruja untuk merancakkan semula industri itu bersama penggemar filem.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan dan teruja kerana diberi lampu hijau untuk kembali membuka pawagam kami pada 9 Sept ini kepada penonton yang menerima dua vaksin lengkap.

“Kami tidak sabar untuk menerima penonton dan akan membuat pengumuman di media sosial rasmi kami tidak lama lagi.

“Nantikan pengumuman filem terbaru dan kemas kini yang akan diumumkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif kepada individu yang sudah lengkap divaksin.

Katanya untuk pawagam, jumlah penonton dalam sesebuah dewan terhad kepada 50 peratus kapasiti maksimum.

Sementara itu, TGV Cinemas melalui kenyataan bersaingan berkata, pihaknya akan memastikan premis mereka mematuhi SOP ditetapkan serta tidak sabar untuk mengalu-alukan kehadiran kaki wayang.

Pun begitu, sebagai mematuhi kelonggaran yang diberikan, TGV Cinemas akan memastikan penonton menunjukkan sijil digital vaksinasi sebelum dibenarkan masuk ke premis hiburan tersebut.

“Keputusan rasmi dibuat perdana menteri menceriakan kami.

“TGV Cinemas akan mematuhi SOP yang digariskan oleh kerajaan dan tidak sabar untuk menyambut penonton filem kembali dengan pematuhan SOP ketat,” kata kenyataan itu.