Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ada pihak fitnah saya belum vaksin tapi jalani penggambaran'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rita Rudaini menafikan dakwaan bahawa dia adalah pelakon yang disebut-sebut segelintir pihak sebagai menerima tawaran berlakon meskipun belum mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Tampil memberi penjelasan, kata Rita, ada pihak berhasad dengki serta menabur fitnah - sejak semalam - bahawa dia yang belum mengambil suntikan pelalian itu sedang menjalani penggambaran.

“Ada rakan industri fitnah sistur, cakap sistur sedang jalani penggambaran, (tapi) tak ada vaksin. Kecoh ni dok menjaja.

Sistur (ada) ni kat rumah saja pun. Dok (tengah) main tanah (tanam pokok), kemas rumah,” katanya di media sosial.

Rita membahasakan dirinya sebagai “sistur” dalam posting berkenaan.

Dalam soal tawaran berlakon, Rita turut mempersoalkan mengapa ada pihak yang tidak bersangka baik dengan rezeki ditentukan Allah.

“Dah, dah la tu menggelupuq (menggelupur) sangat dengan rezeki orang lain pasal apa. Semua tu Tuhan dah tulis untuk hamba Dia. Kalau kau menyalak dengaq (dengar) sampai Perlih (Perlis) pun, kalau Allah dah kata tu rezeki orang tu, tu rezeki dia la.

“Dah hilang bersangka baik dengan Allah?” katanya.

Pada 7 September lalu, kerajaan mengumumkan kelonggaran aktiviti hiburan untuk individu divaksin sepenuhnya di semua negeri bermula hari ini termasuk persembahan seni, pawagam, penggambaran dalam dan luar studio.

Semalam, pengarah dan penerbit drama Jinggo serta pelakon Fauziah Nawi yang bersuara lantang mengenai sebuah produksi didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil pelakon belum vaksin mencetuskan polemik dalam kalangan netizen.

Kedua-dua penggiat seni itu menyuarakan kebimbangan sekiranya terdapat produksi melanggar SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kelonggaran diberikan untuk penggambaran boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

Antara nama pelakon yang ‘dipetik’ netizen adalah Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mokhtar.

Nama Rita, 45, sebelum ini dikaitkan sebagai antivaksin selepas dia berkongsi pendapat bahawa golongan yang enggan menerima suntikan vaksin tidak semestinya harus digelar antivaksin.

Bagaimanapun, itu menegaskan dia bukanlah seperti yang didakwa segelintir pihak.

Sebelum ini, nama pelakon Mami Jarum itu menjadi bualan hangat netizen di Twitter apabila ada pengguna memuat naik tangkap layar InstaStory-nya memaparkan pelakon itu sedang merebus bunga cengkih.

Menurutnya, sekalipun tawaran kerja diberikan kepadanya ditarik balik, dia tetap percaya pada setiap rezeki dan hikmah diberikan Allah SWT

“Sekiranya 100 episod nama sistur digugurkan pun sistur OK sebab bagi saya, Allah dah tulis macam tu.

“Saya sentiasa bersangka baik dengan Dia. Sebab apa Dia tak bagi tu, ada sebabnya dan Dia tak pernah hampakan hamba-hamba-Nya. Jadi, apa yang dengki sangat dengan saya?” katanya lagi.