Skip to main
Logo Malaysiakini

Cinta Sofia Jane pada seni lakon tak pernah pudar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas lama menyepi dari radar industri dan berada di rantau orang selama enam tahun, Sofia Jane mengakui cintanya terhadap bidang seni tidak pernah pudar.

Kini aktres itu - yang baru pulang ke tanah air pada penghujung tahun lalu - berharap dapat menjalin kolaborasi dengan sesiapa yang boleh menawarkan skrip yang relevan.

“Meskipun enam tahun tinggal di Australia, cinta terhadap dunia seni memang tak pernah pudar.

“Bagi saya, walaupun kini berada di tahap usia berbeza, saya masih berharap dapat bekerja dengan pihak yang mempunyai skrip yang progresif, mengikut peredaran zaman,” katanya yang sebelum ini menetap di Australia bersama suaminya.

Pemilik nama penuh Sofia Jane Hisham itu menyatakan kesediaannya untuk kembali aktif berlakon sepenuhnya namun dia mencari sesuatu yang berada 'di luar kotak'.

“Saya mahu cari sesuatu yang relevan dengan budaya landskap sosial kita,” katanya.

Sentuh isu kesihatan mental

Sofia berkata demikian pada sidang media mempromosi drama terbaru lakonannya I-Tanggang yang diadakan secara maya kelmarin.

Kata Sofia, 49, dia juga bersikap terbuka untuk bekerja dengan mereka yang tidak takut untuk menghasilkan sebuah cerita yang sesuai dengan masa kini.

“Sebagai pelakon, saya mahu menjadi sebahagian daripada yang menyampaikan kisah,” katanya.

Mengulas projek terbaru bersama Astro itu, Sofia berkata, dia bersyukur diberi tawaran untuk menjayakan drama siri arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak berkenaan.

Antara adegan dalam drama I-Tanggang

“Saya bahagia bila dapat tawaran seperti ni yang tak selalu ada,” katanya.

Untuk rekod, drama berkenaan mengangkat kisah pesakit mental yang menghidap Munchausen syndrome by Proxy.

Selain Sofia, pelakon lain yang turut menjayakan I-Tanggang ialah Sherie Merlis, Faizal Hussein, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Andy Teh, Rashidi Ishak, Rashid Salleh, Syed Nahar, Rosdeen Suboh dan Yuyun Hikmah.

Pada masa sama, Sofia berkata, drama I-Tanggang disiarkan bertetapan dengan situasi semasa ketika ramai rakyat Malaysia sedang bergelut dengan kesihatan mental ekoran situasi pandemik Covid-19.

Menurutnya, naskhah sedemikian dapat membantu mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya kesihatan mental.

“Bagi saya, I-Tanggang memang sesuai disiarkan kerana sejak pandemik Covid-19 melanda, banyak isu kesihatan mental muncul dalam kalangan masyarakat kita namun selalu diketepikan.

"Justeru, saya harap I-Tanggang boleh menjadi medium penyampaian serta satu revolusi dalam penceritaan,” katanya.