Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas sebulan Shuib pun dapat sentuh Ayash Affan buat kali pertama

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Meskipun tidak berkesempatan meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya bersama Siti Sarah semalam, Shuib tetap bersyukur apabila diberi ‘hadiah’ untuk menyentuh dan mengucup bayinya, Ayash Affan buat kali pertama hari ini.

Pelawak yang juga bekas penyampai radio Hot FM, itu berkata, dia diberi kebenaran untuk bertemu anak keempatnya itu yang masih berada dalam pemantauan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Alhamdulillah... di hari kelahiran, Allah hadiahkan berita gembira. Dah boleh ke hospital tengok Ayash Affan.

“Ia akan jadi hari pertama melihat dan menyentuh Ayash Affan,” kata Shuib melalui Insta Story miliknya malam tadi.

Untuk rekod, Shuib dilahirkan pada 12 Sept 1984, manakala arwah isterinya pula dilahirkan pada 15 Sept pada tahun sama. Usia mereka adalah sama, kecuali dibezakan dengan selang dua hari.

Terdahulu Shuib mengiringi perkongsian itu dengan imej dia bersama ahli keluarganya beriadah di sebuah kawasan rekreasi air terjun.

“Tahun ni tiada sambutan hari lahir bersama 12 Sept dan 15 Sept 1984,” luah Shuib.

Siti Sarah, 36, menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 5.13 pagi pada 9 Ogos lalu di PPUKM akibat Covid-19.

Arwah sebelum itu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu.

Selain Ayash, Siti Sarah turut meninggalkan tiga lagi cahaya mata hasil pernikahan dengan Shuib, iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Keterujaan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad itu lantas mengingatkan dia kepada kata-kata terakhir Siti Sarah yang berpesan agar dia menjaga Ayash Affan dengan sebaik mungkin hingga menjadi anak kebanggan dunia dan akhirat.

“Insya-Allah, alhamdulillah hari ini jumpa Ayash Affan. Masih ingat lagi ibu selalu cakap benda yang sama berulang kali baby keempat ini: You jaga dia tau. You jaga okay,” pesan Siti Sarah.

Kata Shuib, dia akan berusaha untuk mendidik bayinya menjadi seperti yang diinginkan arwah isterinya.

“Insya-Allah sayang. I akan jaga dia macam mana I jaga you sampailah dia jadi anak yang soleh. Anak yang akan menjadi kebanggaan you dunia dan akhirat. Anak yang selalu dekat dengan Allah," katanya.