Skip to main
Logo Malaysiakini

Che Ta sudi terima tawaran kerja amal tanpa bayaran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Walaupun sering menerima tawaran menjadi duta sesebuah produk, Rozita Che Wan tidak menolak untuk menyertai mana-mana program anjuran pertubuhan amal tanpa bayaran sekiranya dipelawa.

Kata pelakon itu, dia mahu menggunakan pengaruhnya untuk menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan bagi memberi manfaat kepada lebih banyak pihak.

Jelas pelakon yang juga mesra disapa Che Ta itu, biarlah usaha murninya menjadi asbab dalam mendidik masyarakat.

“Saya tak ada masalah menjalinkan kerjasama sama ada sebagai jurucakap atau duta bagi mana-mana pertubuhan.

“Jika program amal atau bertujuan membantu mendidik masyarakat, saya tak ada masalah untuk sertai secara percuma.

“Saya harap usaha kecil saya boleh beri manfaat kepada orang lain,” katanya.

Pun begitu, artis yang terkenal dengan kemewahan dan sering muncul dengan gaya sofistikated itu berkata, setakat ini, dia belum lagi menerima sebarang tawaran sebegitu.

“Saya belum pernah dapat tawaran macam tu. Mungkin disebabkan mereka fikir artis seperti saya biasanya akan letakkan bayaran,” katanya.

Che Ta berkata demikian pada sidang media pengumuman pelantikannya sebagai duta Himaya yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Untuk rekod, pelantikan itu melengkapkan barisan duta sedia ada sebelum ini seperti Erra Fazira, Elfira Loy, Wany Hasrita, Amira Othman dan Nabila Razali.

Pelantikan pemilik nama asal Rozita Abu Bakar, 50, itu juga seiring dengan Kempen Kutipan Dana bagi Majlis Kanser Nasional (MAKNA) sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Oktober ini.

Isteri kepada aktor Zain Saidin itu berkata, selepas menerima tawaran Himaya, dia mencadangkan jenama itu untuk menjalin kerjasama dengan MAKNA.

“Bila KK Chua (Ketua Pegawai Eksekutif Anggun Kirana Sdn Bhd) lamar saya sebagai duta baru Himaya, saya fikir kenapa tak ajak mereka jalinkan kerjasama dengan MAKNA.

“Justeru, bila Himaya bersatu dengan MAKNA, saya beri sokongan penuh dan berharap ia dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

“Saya juga akan bantu setakat yang mampu agar dapat menyumbang lebih banyak kepada MAKNA,” katanya.

Pemeriksaan kesihatan berkala

Sementara itu, mengulas mengenai kesedaran terhadap penyakit kanser dan penjagaan kesihatan, Che Ta mengakui, dia tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Namun, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu cukup mengagumi ibunya, Zabedah Saad, 68, yang mengambil inisiatif menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali.

“Saya memang selalu bawa emak jumpa doktor tapi saya sendiri pun tak buat begitu kerana takut.

“Kali terakhir saya jumpa doktor untuk pemeriksaan adalah ketika mengandungkan Aaisyah Dhia Rana,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon itu berkata, dia akan mengubah sikapnya sebelum ini selepas mendengar penjelasan daripada Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd Farid mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala.

“Lepas buat pemeriksaan barulah saya boleh galakkan orang lain untuk buat perkara sama. Dengan pemeriksaan awal, sesuatu penyakit kanser mungkin dapat dicegah lebih awal.

“Ayah saya berkahwin empat, dua anak hasil perkahwinan dengan isteri pertama menghidap kanser payudara, seorang daripadanya sudah meninggal dunia.

“Saya harap kita dapat berkongsi ilmu mengenai kanser terutamanya dengan mereka yang tinggal di luar bandar supaya mereka ni tak bergantung kepada perubatan tradisional semata-mata,” katanya.