Skip to main
Logo Malaysiakini

Pawagam GSC dibuka mulai Khamis ini, TGV minggu depan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setelah membuatkan peminat filem tanah air tertunggu-tunggu, pengendali pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas akhirnya mengumumkan tarikh pembukaan semula pawagam mereka.

GSC akan mula membuka pawagam bermula 16 September ini (Khamis) - iaitu tiga hari lagi - di 17 kawasan, dan akan disusuli oleh lokasi-lokasi lain.

17 pawagam itu melibatkan sepuluh pawagam di Lembah Klang, tiga di utara dan lima di selatan.

TGV Cinemas pula akan membuka pawagam mereka bermula 23 September minggu depan.

Berita itu dikongsikan mereka di Facebook masing-masing.

“Kami akan buka semula minggu ini.

“Memandangkan kami masih menunggu filem-filem baru masuk, 17 lokasi GSC akan buka pada 16 September ini. Lebih banyak lokasi akan dibuka semula pada 23 September.

“Tunggu untuk senarai filem,” kata GSC di Facebook.

 “Simpan tarikh itu. Pintu-pintu pawagam kami akan dibuka sudah tak lama sangat lagi, jadi lapangkan jadual anda.

“TGV akan menjadi rumah kedua anda,” tulis TGV Cinemas, juga di Facebook.

Sebelum ini, GSC memaklumkan pihaknya sedang menunggu garis panduan daripada kerajaan berhubung pembukaan semula pawagam, selain memastikan mempunyai kandungan cukup untuk ditayangkan.

Satu lagi pengendali pawagam, TGV Cinemas pula memaklumkan yang mereka memerlukan masa “untuk melakukan persediaan” sebelum kembali beroperasi.

Ini setelah kerajaan membenarkan pawagam beroperasi semula bermula 9 September lalu, dengan SOP ketat.

Di ruangan komen, rata-rata peminat filem menyuarakan keterujaan mereka.

“Tahniah GSC kerana bertahan menempuh pandemik ini dan kini adalah masa untuk kembali,” kata seorang warganet.

“Saya akan beli 10 tiket filem Shang-Chi untuk selamatkan periuk nasi anda, GSC,” kata yang lain.

Pun begitu, ramai juga yang memberi penekanan tentang pematuhan SOP agar keselamatan pengunjung dapat dijamin.

“Tolong ya, kalau anda mahu batuk atau bersin di dalam pawagam, sila (berbuat demikian) pada pelitup muka anda,” pesan seorang pengguna Facebook.

“Selepas melihat beberapa tempat sesak seperti di pantai dan taman rekreasi (kebanyakannya tak jaga SOP), saya cadangkan GSC hanya buat (segala urusan secara) bayar dalam talian sahaja, (di kaunter) makanan dan minuman hanya untuk urusan ambil sahaja," kata yang lain.