Skip to main
Logo Malaysiakini

Dari penjara Singapura, Pannir lagukan rasa cinta pada negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO Sebaran Kasih melancarkan lagu kedua ciptaan seorang banduan Malaysia, P Pannir Selvam yang sedang menanti hukuman mati di penjara Changi, Singapura.

Lagu berjudul 'Bukan Sekadar Hikayat'  itu dinyanyikan oleh penyanyi rap tempatan, Saint TFC bagi mengenang jasa pejuang-pejuang tanah air yang telah berjuang demi kemakmuran negara.

Sebelum ini, lagu ciptaan pertama Pannir berjudul Arah Tuju nyanyian Santesh Kumar dilancarkan pada April tahun ini.

Presiden Sebaran Kasih, Angelia Pranthaman berkata, selain meluahkan rasa cinta kepada negara, projek berkenaan bertujuan membuka mata masyarakat tentang nasib yang menimpa Pannir serta banduan akhir yang lain.

"Kami berharap lagu ini berupaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama berkongsi rasa cinta dan penghargaan untuk negara ini.

"Dalam masa yang sama, kami juga mengajak orang ramai untuk merenung nasib yang dilalui oleh banduan yang dihukum mati dan ahli keluarga yang mereka sayangi," katanya dalam majlis pelancaran lagu Bukan Sekadar Hikayat, di Kuala Lumpur malam tadi.

Pannir dijatuhi hukuman mati setelah ditahan membawa 51.84 gram (g) dadah jenis diamorfin semasa memasuki Singapura melalui Woodlands pada 2014.

Dia disabitkan bersalah pada 27 Jun 2017 dan kini dalam proses mencabar penolakan permohonan pengampunan yang dikemukakan pada 2019.

Angelia berkata dia meletakkan harapan yang tinggi supaya projek ini dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang perlunya pemansuhan hukuman mati yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Selain itu, Angelia yang juga adik kepada Pannir berkata, pihaknya berharap ia dapat membantu mengubah persepsi orang ramai terhadap banduan akhir.

"Walaupun telah genap tujuh tahun menjalani hukuman (penjara), Pannir tidak berputus asa atau kecewa malah kreativiti, minat mendalam terhadap muzik dan rasa cinta kepada tanah airnya, Malaysia masih kekal membara.

"Hasil dari semangat tersebut telah melahirkan lirik lagu Bukan Sekadar Hikayat dan Saint TFC merupakan orang yang tepat untuk melantunkan nyanyian lagu tersebut," ulasnya lagi.

Katanya, pelancaran lagu dan muzik video berkenaan menandakan pencapaian Sebaran Kasih Malaysia sebagai sebuah badan sukarelawan yang telah memperjuangkan hak banduan akhir di rantau Asia.

"Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memberi sokongan terhadap single 'Bukan Sekadar Hikayat' serta sokongan terhadap Pannir dengan menandatangani petisyen di http://chng.it/d4YBRrYq supaya dia dilepaskan dari hukuman mati," katanya.

Lagu Bukan Sekadar Hikayat akan disiarkan untuk tontonan umum bermula 16 September ini di aplikasi You Tube atau mana-mana platform streaming muzik.