Skip to main
Logo Malaysiakini

Shuib bersyukur dah boleh bawa balik Ayash Affan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelawak dan penyampai radio Shuib memanjatkan kesyukuran apabila dia dibenarkan untuk membawa pulang bayinya yang dilahirkan secara pramatang selepas sebulan dipantau di hospital.

Menurut Shuib, kepulangan Ayash Affan merupakan hadiah paling istimewa daripada Allah SWT sempena ulang tahun arwah isterinya, Siti Sarah esok.

“Syukur ya Allah, esok tarikh lahir ibu iaitu 15 September, Allah hadiahkan kepulangan Ayash Affan hari ini.

“Insya-Allah, kejap lagi dah boleh balik dah. Allahu Akhbar, tangan, jari sebiji tangan ibu. Terima kasih semua mendoakan kesejahteraaan anak soleh ini.

“Terima kasih semua. Syukur Ya Allah, di atas rahmat Mu,” katanya di Instagram hari ini.

Untuk rekod, Allahyarhamah meninggal dunia pada pada 8 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19. 

Dia sebelum itu menjalani pembedahan tanpa sedar bagi melahirkan Ayash Affan ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu. 

Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Selain Ayash Affan, Allahyarhamah turut meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

Semalam Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhamad berkongsi keterujaan dalam hantaran berbeza apabila buat pertama kali dia diberi kebenaran untuk mengucup dan menyentuh Ayash Affan yang dipantau di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Nikmat yang cukup indah bila dapat luangkan masa tiga jam dengan Ayash Affan.

“Syukur Ayash sihat, berat dah 2.6 kilogram, menyusu kuat dan comel sangat-sangat.

“Muka macam daddy lah, ibu. Memang istimewa sangat hadiah dari ibu. Allahu Akhbar. I (Saya) harap you (awak) ada di sini sayang,” tulisnya di Instagram Stories.