Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan jadi sampah, kata Ara Johari geram

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

“Tolonglah jadi rakyat Malaysia yang berguna. Jangan jadi sampah,” demikian kata-kata pedas Ara Johari yang geram melihat sampah dibuang merata-rata di sebuah kawasan air terjun.

Penyanyi itu meluahkan rasa tidak puas hatinya ekoran ada segelintir individu tidak bertanggungjawab dan enggan mengendahkan aspek kebersihan alam sekitar selepas berhibur di pusat rekreasi berkenaan.

“Kau ingat ada tukang kutip kemaskan untuk kau?” sindirnya lagi.

Luahan pemilik nama asal Nurfarrah Izzatie Johari itu dimuat naik melalui hantaran Insta Story miliknya semalam.

Dia dipercayai baru saja pulang beriadah di lokasi air terjun yang dimaksudkan di media sosialnya itu.

Kata Ara, 24, dia kecewa melihat ada individu tidak bertanggungjawab mencacatkan pemandangan indah sedangkan tujuan pusat rekreasi itu dibuka adalah bagi memberikan ketenangan minda.

“Aku geramlah. Kita ni nak mendaki dan berkhemah sebab nak tengok keindahan alam sekeliling dan nak hirup udara segar

“Tapi kalau sampah buang merata-rata, kau rasa tak sakit mata ke orang tengok?” katanya.

Ara turut berpesan kepada pencinta aktiviti perkhemahan atau perkelahan untuk menanam sikap kebersihan dengan membuang sampah di tempat wajar.

“Anda nak pergi mendaki atau berkhemah di air terjun sana pastikan lepas makan atau minum, sampah tu bawa turun ke bawah dan buang di tempat yang sepatutnya.

“Macam mana nak jaga alam sekitar kalau ada lagi jenis manusia yang tak ada kesedaran sivik?” katanya.