Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Untuk apa filem di musim sengsara?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Apakah yang sebenarnya kita cari dalam setiap filem yang telah atau mahu disaksikan?

Persoalan ini boleh jadi jarang hendak diperhati atau dipertanyakan. Hal itu kerana ia bukanlah tentang perjanjian persefahaman yang dicanang sebagai politik matang dan progresif selepas rakyat dipaksa berhempas-pulas hidup dalam pentadbiran yang serba gagal.

Ia juga tiada kaitan dengan apa-apa wacana keadilan sosial seperti hak orang Islam untuk melaksanakan solat Jumaat yang tercabut ketika mereka sudah berada di halaman rumah Allah.

Tidak cukup dengan itu kita juga berdepan dengan pelbagai krisis yang tidak pernah diidamkan. Masalah kewangan, kesahihan data, ketelusan maklumat, isu alam sekitar, parahnya kesihatan mental dan anak-anak yang keciciran dalam pelajaran meletakkan kita dalam hidup yang kucar-kacir.

Nah, dalam segala kemelut jahanam itulah maka persoalan ini diangkat dan ditampilkan.

Ada tiga hal utama yang menjamin kecemerlangan sesebuah karya filem, iaitu skrip, lakonan dan kerja kamera atau dikenal dalam ilmu perfileman sebagai senimatografi.

Ketiga-tiga elemen seni ini harus digaul bersama kehalusan cara penulisan, kecemerlangan lakonan serta ketelitian pengarahan pada sepanjang tempoh pembikinan. Dalam hal ini ada ratusan kru pembikin filem di belakang tabir terlibat. Dan mereka itulah juga golongan yang sering diabai dan dilupakan.

Tingkat hormon endorfin

Adapun hal-hal lain seperti ketampanan atau kejelitaan seseorang pelakon di sebalik kekosongan bakat serta sengkeknya ilmu pengetahuan hanyalah permulaan kepada lebih banyak kehancuran.

Kehancuran itu kemudian ditambah parahnya dengan sikap penerbit dan stesen TV kita yang terlalu menggilakan selebriti kaya kontroversi dan paling ramai pengikutnya di media sosial.

Hal-hal begini terjadi apabila penerbit atau stesen TV tidak mengetahui apa sebenarnya dicari oleh penonton dalam setiap karya yang mereka saksikan.

Penerbit atau stesen TV seumpama itu sebenarnya telah mengabaikan tanggungjawab sosial yang seharusnya digunakan bagi membentuk selera seni bermaruah sambil membangunkan pemikiran masyarakat.

Mereka tidak sepatutnya hanya mengutamakan rating dan keuntungan perniagaan. Nah, inilah pengkhianatan seni yang sebenar.

Ada beberapa kajian yang pernah dijalankan berkenaan hal ini. Misalnya kajian Universiti Oxford yang menemukan data bahawa dengan menonton filem traumatik - iaitu filem sedih - akan meningkatkan pengeluaran hormon endorfin dari badan seseorang.

Kajian itu membuktikan melalui filem sedih, hormon tersebut membolehkan manusia menghilangkan tekanan dan merasakan erti puas, lega dan keseronokan.

Kardiologis dari University of Maryland, Dr Michael Miller, pernah menjelaskan melalui kajiannya didapati filem komedi yang mampu membuat kita ketawa sepanjang 15 minit adalah baik untuk jantung. Bahkan ia sama baiknya dengan melakukan senaman.

Filem yang baik mampu menurunkan kadar stres dan tekanan darah seseorang, selain berupaya membuatkan saluran darah manusia mengembang sebanyak 22 peratus.

Terlibat dengan penciptaan simbol

Selain itu ada dapatan kajian menunjukkan dengan menonton filem seram, sel darah putih seseorang dapat ditingkatkan. Dengan kata lain, menonton filem yang tertentu mampu meningkatkan sistem imun badan.

Filem sebetulnya bukan saja berupaya menjadikan hidup manusia lebih sihat dan gembira. tetapi juga mampu memberikan inspirasi dan pelajaran untuk menjadikan kehidupan manusia lebih baik serta bererti.

Dalam menghadapi realiti dunia yang serba mencabar pada hari ini, paling tidak menteri komunikasi dan multimedia yang baru itu mungkin boleh memberikan perhatian yang lebih terhadap pemulihan industri perfileman.

Seni - sepertimana filem - sememangnya adalah alat bagi manusia melepaskan diri (eskapisme) daripada kebosanan, kesengsaraan, kedukaan serta keterdesakan hidup.

Pada 1988, dalam satu kertas kajian berjudul Art film in suburbs: A comparison of popular and art film audiences yang dikerjakan oleh Faber, O’Guinn dan Hardy mendapati sebab utama penonton ke pawagam ialah untuk memperoleh keseronokan hiburan.

Bagaimanapun itu tidaklah bermaksud seni seperti filem tidak mampu diangkat sebagai medium ilmu bagi memperkayakan literasi sains, teknologi, sastera, sosial, kemanusiaan dan pemikiran.

Seorang ahli sosiologi Inggeris, David Hesmondhalgh, mengatakan penggiat seni budaya seperti filem adalah mereka yang terlibat dengan penciptaan simbol.

Dalam bukunya The Cultural Industries, profesor media, muzik dan budaya itu menjelaskan, apa sahaja penzahiran dalam minda orang seni melalui penciptaan pelbagai simbol seperti gambar, lagu, tarian, lukisan dan lakonan pada akhirnya akan menjadi sistem nilai dalam masyarakat.

Ia kemudian berkembang membentuk budaya yang berupaya memenuhi tuntutan naluri serta memberikan kepuasan seperti menatijahkan sebuah masyarakat yang sihat lagi bahagia.

Dari itu dalam tempoh 100 hari menteri komunikasi dan multimedia yang baru itu tentulah ada beberapa perkara yang mungkin boleh dimaju, diperkasa dan diperkaya – khususnya seni seperti filem.

Lalu bagi menjawab apakah yang sebenarnya kita cari dalam setiap filem, jawapannya ada pada dalam diri setiap kita.


HARIS HAUZAH ialah seorang yang sentiasa bermimpi pada setiap pagi, mengigau ketika malam dan hanya bekerja dalam tulisannya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.