Sajat 'kabur' ke Thailand dengan purdah, niqab
Nur Sajat Kamaruzzaman didakwa memakai purdah dan niqab bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa melarikan diri dari rumahnya di Petaling Jaya ke kawasan sempadan sebelum lolos ke Thailand.
Memetik sumber, Harian Metro melaporkan, selain mengenakan pakaian sedemikian, usahawan kosmetik itu juga dibantu seorang lelaki yang dilaporkan menerima upah sebanyak RM20,000 sebagai pemandu arahnya.
Katanya Nur Sajat sedang bersembunyi di sekitar Lembah Klang apabila diperkenalkan kepada seorang lelaki yang mahir tentang selok-belok di kawasan sempadan.
Kata sumber itu Nur Sajat bersetuju membayar RM20,000 kepada lelaki terbabit untuk membawanya melepasi kawalan sempadan sehingga tiba di Bangkok.
“Lelaki itu dipercayai mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand. Siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.
Dengan bantuan lelaki itu menurut sumber terbabit Nur Sajat kemudian dibawa menaiki kenderaan dari Lembah Klang melalui Lebuhraya Utara - Selatan sebelum sampai di Padang Besar, Perlis.
Apabila tiba di Padang Besar, katanya, Nur Sajat dimasukkan ke gerabak kereta api barang sebelum lolos hingga ke Thailand bersama lelaki terbabit.
“Lelaki sama juga membawa Nur Sajat ke Hat Yai. Dia (Nur Sajat) kemudian diserahkan kepada seorang lelaki lain yang membawanya hinggalah ke Bangkok,” katanya.
Usaha memburu Nur Sajat dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dia gagal hadir di mahkamah seperti yang diarahkan pihak berkuasa.
Terdahulu, penyanyi Bobo Di Mana itu dilaporkan ditangkap di sebuah kondominium mewah di Bangkok pada 8 Sept lalu. Turut ditahan adalah seorang lagi transgender warganegara Thailand.
Sumber berkata, usahawan kosmetik itu dipercayai lolos ke Thailand pada Mac lalu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pemulihan dilaksanakan.
“Pihak berkuasa yakin dia lolos sebelum 18 Mac kerana selepas tarikh itu PKP kembali dikuatkuasakan,” katanya.
Sumber itu memaklumkan, siasatan mengenai Nur Sajat berjaya lolos walaupun gambarnya sudah diedarkan kepada semua pasukan keselamatan yang menjaga sempadan negara.
“Saya tidak mahu ulas bagaimana dia boleh lolos di Padang Besar, Perlis ke Thailand walaupun ketika itu kita sudah edar gambar dia.
“Tetapi yang pasti, taktik dia adalah memakai purdah dan niqab hinggalah dia berjaya lolos ke sana dengan bantuan lelaki terbabit,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai