Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat dakwaan Sajat dibantu individu lain lolos ke Thailand

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dari pelbagai aspek termasuk dakwaan dibantu individu lain, berhubung isu ahli perniagaan kosmetik yang dikenali sebagai, Sajat yang melarikan diri ke Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata siasatan dan maklumat akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan kaedah terbaik agar sempadan negara tidak mudah dibolosi.

"Kami tidak mahu lagi kejadian seperti berlaku pada Sajat yang berjaya melarikan diri dari sempadan negara berulang. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga,” katanya pada sidang media sindiket curi lori di sebuah gudang di Jalan Batu Arang, hari ini.

Abd Jalil berkata Sajat telah dituduh oleh pihak berkuasa Thailand di bawah Akta Imigresen negara itu, namun dia memohon taraf pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Mereka (UNHCR) sedang berusaha membolehkan dia dianggap sebagai pelarian di Thailand," katanya.

Abd Jalil berkata pihaknya sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi ahli perniagaan kosmetik itu ke Malaysia.

"Terpulang kepada pihak berkenaan untuk memberi kuasa kepada polis bagi membolehkan dibawa pulang melalui proses undang-undang Malaysia dan antarabangsa. Polis menasihatkan Sajat, sekiranya dia dengar berita ini, kami minta dia pulang dengan cara baik bagi berhadapan kes yang perlu dilaluinya," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis dalam proses memohon mengekstradisi Sajat daripada pihak berkuasa Thailand.

Sajat diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Sajat bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.