Sajat belum kemuka permohonan suaka politik, kata polis Thailand
Polis Thailand setakat ini enggan mengesahkan laporan media Malaysia bahawa usahawan kosmetik dalam buruan Nur Sajat sedang cuba mendapatkan suaka politik.
Jurucakap polis, Kolonel Kissana Phathanacharoen, berkata Nur Sajat masih belum mengemukakan permohonan itu secara rasmi.
Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan didedahkan kemudian, lapor Bangkok Post.
Nur Sajat, 36, ditahan pada 8 September lalu oleh Biro Imigresen Membanteras Penjenayah Transnasional dan Pusat Pendatang Tanpa Izin (CTIC).
Dia didakwa dengan kesalahan berkaitan imigresen, termasuk masuk secara haram dan dibebaskan dengan jaminan AS$2,000 (RM8.261).
Usahawan itu turut diarahkan untuk melapor diri kepada pegawai imigresen setiap 14 hari.
Namun, sumber berkata, Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR) didakwa sudah menerima permohonan Nur Sajat untuk diklasifikasi sebagai pelarian dan ditempatkan di Australia.
Sumber itu juga menyatakan selepas pemeriksaan imigresen menunjukkan pasport Nur Sajat dibatalkan oleh kerajaan Malaysia, dia kemudian memohon status pelarian dari UNHCR.
Agensi PBB itu kini dilaporkan sedang sedang cuba mendapatkan kelulusan untuk dia menetap di Australia.
Nur Sajat mendakwa tidak boleh kembali ke Malaysia kerana bimbang ancaman bunuh ke atasnya selepas dia mengugut untuk keluar Islam.
Mahkamah syariah di Selangor sebelum itu mengeluarkan waran tangkap ke atasnya selepas dia gagal hadir untuk prosiding kes lelaki berpakaian wanita.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang Nur Sajat.
Sementara itu, penangkapan Sajat kini turut mendapat liputan meluas di Indonesia.
Media negara umat Islam terbesar di dunia itu rata-rata mengetengahkan bagaimana Sajat menziarahi Kaabah dengan berpakaian wanita sebelum ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai