Sifar ungguli pertandingan lagu di Toronto
Tuah yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Sifar yang dihasilkan bersama oleh Asfan Shah, Kmy Kmo, Trip Disk dan Lady D diumum sebagai juara di International Media Festival for Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada malam tadi.
Lagu terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama anak-anak muda itu mengungguli kategori Music Is Key yang menjadi satu daripada enam kategori yang dipertandingkan.
Pertandingan itu diadakan sempena Kongres Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dunia XXII.
Berkongsi keterujaan itu, Asfan, Kmy Kmo dan Tripdisz berkata, tiada apa yang lebih bermakna buat mereka selain kerja keras yang diiktiraf di persada antarabangsa.
“Syukur Alhamdulilah kami berjaya membawa pulang hadiah yang sangat bermakna ini.
“Terima kasih kepada semua peminat, Perkeso dan mereka yang menjayakan pertandingan ini.
“Insya-Allah kami akan terus berusaha untuk mengharumkan nama Malaysia lagi di masa akan datang,” kata mereka kepada Malaysiakini hari ini.
Angkat mesej positif
Untuk rekod, Majlis Kongres Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dunia XXII yang bermula 20 September lalu melabuhkan tirainya semalam.
Pertandingan itu melibatkan 289 penyertaan dari 40 negara. Sifar sebelum ini disenaraikan satu daripada tiga finalis dalam kategori Music Is Key.
Festival media yang dianjurkan setiap tiga tahun itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada filem dan hasil multimedia yang bertemakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Bergenre moden kontemporari, Sifar turut dijadikan runut bunyi (OST) bagi filem Warkah terbitan Perkeso pada 2019.
Lagu itu bertujuan mengangkat mesej positif iaitu meningkatkan kesedaran rakyat negara ini mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menyuntik elemen nasihat untuk mencegah kemalangan dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, lagu berkenaan juga menyelitkan konsep Vision Zero dalam liriknya, iaitu pendekatan strategik terhadap usaha pencegahan kemalangan yang menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja.
Konsep yang mula diperkenalkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) itu turut mempromosikan amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan pekerja.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataan berkata, kemenangan itu merupakah hadiah bukan hanya kepada badan terbabit atau artis yang terlibat dalam pembikinannya malah kebangaan Malaysia.
“Ini juga adalah satu pengiktirafan kepada kerja keras Perkeso melalui pelbagai cara selama ini untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran rakyat Malaysia terhadap pentingnya jaringan keselamatan sosial untuk melindungi mereka dan keluarga tersayang,” katanya.
Mohammed Azman juga berkata, Perkeso sedang giat menyusun strategi dan pendekatan yang lebih pelbagai, kreatif dan menyeluruh bagi menguar-uarkan mesej mengenai kepentingan mencarum dengan badan itu khususnya kepada generasi muda dengan memanfaatkan penggunaan media sosial dan platform digital sebagai salah satu daripada saluran komunikasi utama, di samping platform-platform arus perdana yang lazim.
“Ini adalah amat penting sejajar dengan peningkatan tenaga kerja muda dalam pelbagai sektor ekonomi serta peluasan ekonomi gig yang menjadi pilihan ramai anak muda sebagai kerjaya kehidupan kini.
“Dengan kemenangan ini, Perkeso juga telah mengharumkan nama negara dan mengibarkan bendera Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai