Skip to main
Logo Malaysiakini

Hafidz teruja jadi lelaki panas baran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pertama kali diberi kepercayaan menggalas watak pemuda panas baran, Hafidz Roshdi mengakui dia seronok dengan pengalaman barunya itu.

Kata Hafidz, sudah lama dia ternanti-nanti sesuatu yang mencabar seperti itu kerana sebelum ini dia hanya banyak menjayakan karakter lelaki bersikap baik.

Dan dia bersyukur, impiannya itu dapat direalisasikan melalui drama Perisik Cinta Tak Diundang yang diarahkan oleh Azmi Mohd Hatta.

“Ini kali pertama saya bawa watak pemarah dan perampas kekasih orang. Jujurnya memang sudah lama saya tunggu watak sebegini.

“Sebelum ini saya banyak menjayakan watak lelaki baik hati,” katanya.

Pemilik nama penuh Muhammad Hafidz Roshdi itu berkata demikian pada sidang media mempromosi drama terbaru lakonannya yang sedang ditayangkan di slot Akasia, Perisik Cinta Tak Diundang, baru-baru ini.

Hafidz, 26, berkata, melalui watak berkenaan, dia juga dapat melepaskan kemarahannya melalui watak Firas Akhtar yang dianggapnya menguji kebolehan lakonannya.

“Jika tak bawa watak macam ni, saya tak dapat nak lepaskan semua perasaan. Melalui watak panas baran macam ni, saya berpeluang meneroka sudut gelap sesuatu karakter yang tak pernah saya lakukan,” katanya.

Selain Hafidz, Perisik Cinta Tak Diundang turut dijayakan oleh pelakon seperti Shiha Zikir, Andi Bernadee, Esma Daniel dan Shamsul Ghau Ghau.

Sementara itu, mengulas tampuk utama sesebuah naskhah yang diberikan kepada pelakon yang mempunyai latar belakang sebagai penyanyi, Hafidz berkata, dia tidak pernah tergugat dengan kehadiran mereka.

Katanya, dia percaya setiap manusia mempunyai bahagian rezeki masing-masing.

“Ramai penyanyi jadi pelakon, memang sebegini polanya. Tapi Alhamdulillah, rezeki untuk saya masih ada. Jika bukan diberikan watak hero utama, saya diberikan watak hero kedua,” katanya.

Justeru, menurut Hafidz, dia percaya, setiap pelakon mahupun penyanyi akan ada ruang dan peluang tersendiri untuk berkembang dalam bidang tersebut.

“Itu rezeki mereka. Siapa saya untuk menidakkan rezeki mereka. Bagi saya, adalah satu tekanan besar untuk menjayakan sesuatu watak hero.

“Saya dah melalui zaman itu. Apabila saya diberi peluang menjadi hero kedua pula, saya tetap dapat teroka banyak watak. Jadi soal tergugat itu, tiada,” katanya.