Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mengapa gila sebelum ditakdirkan?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Don McLean, lagenda folk singer songwriter kelahiran Amerika mengungkapkan tragedi yang menimpa bintang rock and roll yang menyinar era 50an, Buddy holly sebagai hari paling sedih bagi golongan pemuzik, sebagaimana katanya dalam lagu masterpiecenya American Pie, “ The day the music died”. 

Tragedi kemalangan kapalterbang yang menimpa Buddy Holly dan Ritchie Valens, memang malang.

Buddy sedang menempa nama sebagai bintang rock and roll, Ritchie pula bintang yang baru nak menyinar. Tragedi itu berlaku pada 1959 dan Don McLean meletup dengan lagu American Pie pada 1971.

Don McLean ni popular dengan lagu American Pie, Vincent, And I Love You.

Dia antara lagenda yang masih hidup. Hari ini usianya pun dah mencecah 75 tahun.

Realitinya selepas Buddy Holly, muncullah pelapis seperti Clapton, Hendrix, Beatles dan Rolling Stones dan legasinya berterusan sampailah ke era pandemik di mana The Day The Music Died ni lebih relevan untuk golongan pemuzik yang terkesan sejak wabak ini melanda dunia dua tahun lepas.

Di negara kita ini, covid-19 mengakibatkan negara dan rakyat berhadapan dengan krisis ekonomi yang kritikal. Semuanya terjejas, dan kita bertungkus lumus untuk membiasakan diri dengan norma baru yang tidaklah semudah yang kita rancangkan.

Tarikh 18 Mac 2020 menyaksikan golongan pemuzik lumpuh, tersadai tanpa bekalan yang mencukupi untuk melayari sebuah kehidupan yang namanya kesederhanaan. Semua scene muzik dan hiburan terhenti dan ia mengakibatkan kesan yang bukannya sedikit, mental dan fizikal. 

Kita semakin hilang arah. Ada yang putus asa, ada yang bunuh diri, ada yang depresif, murung dan segala macam penderitaan dari segi emosi khususnya.

Umpama cerita dalam Musyawarah Burung karangan Farid Uddin Attar, yang mengisahkan ribuan para burung mengembara mencari raja si Murgh atau si raja burung, ramai yang putus asa dan kandas, ramai yang mati dalam merentas tujuh gunung tujuh lautan untuk ke singgahsana sang raja, yang sampai hanya 30.

Semoga kita termasuk dalam golongan yang 30 itu, hidup perlu diteruskan walau dalam apa jua keadaanpun.

Hari ini sudah setahun setengah kita menjalani hidup dengan siri PKP yang tak tahu bila akan selesai tempohnya 100 peratus dan kita akan kembali hidup seperti biasa. Inilah musim dukacita bagi umat manusia seluruh alam.

Hari ini, berita kematian bukanlah asing bagi kita. Saban hari akan ada van jenazah dan ambulan lalu, dan beritanya bukan sesuatu yang menggembirakan, 

Cuma kita perlu membiasakan diri dengan berita berapa ramai orang mati hari ini?

Sebagai pemuzik, ramai rakan kita yang buntu tanpa arah, ada yang beralih kerjaya, menjadi pemandu grab dan sebagainya demi kelangsungan hidup. Ada yang meraih simpati masyarakat yang prihatin akan nasib mereka. 

The Day the Music Died, inilah realitinya. Terperap di rumah selama empat bulan sudah cukup untuk melemahkan semangat kita untuk terus berjuang, berjuang untuk hidup. Ada kawan kita dah bercakap dengan peti ais, saya pun dah terlupa hari ini hari apa, esok hari apa, kesan pandemik, itu belum masuk bab penderaan, kes rumahtangga dan sebagainya

Pandemik ni menjadikan rakyat terkesan terutama dalam bab kewangan. Waktu saya busking dulu, kita bermuzik dan kebanyakan pengunjung yang menjamu selera ada duit, sekurang-kurangnya untuk menyumbang setakat yang mereka mampu. Tapi situasi pandemik ini menjadikan rakyat hidup miskin dan terpaksa berjimat cermat dalam mendepani hari mendatang. Dari M40 turun ke B40, begitulah

Apapun, pihak kerajaan melalui badan badan kreatif seperti Cendana juga MOTAC sedikit sebanyak ada juga membantu golongan artis dan pemuzik, juga busker.

Bantuan dana untuk Hiburan Dari Rumah, persembahan golongan busker di pusat vaksin hasil inisiatif dari MOTAC dan kerajaan Selangor, banyak membantu dan kita berharap sokongan dari badan kerajaan ini hendaknya berterusan. 

Umpama sumbu hidup bagi kita dan mereka yang memerlukan. Busker pun sudah dibenarkan bermuzik di merata lokasi asal ada sijil vaksin.

Ada dua peristiwa besar yang kita katakan bala yang menimpa umat manusia, selain perang. Pertamanya wabak Spanish Flu atau pandemik Influenza yang mengorbankan 50 juta nyawa dan menjangkiti 500 juta umat manusia di seluruh dunia. Itu di tahun 1918.

Keduanya Covid 19 yang sedang kita hadapi musim ini. Ia sangat mengesankan hidup kita. Membunuh kesejahteraan hidup dan peradaban manusiawi, semoga musibah ini akan segera berakhir dan kita kembali hidup seperti sebelum pandemik.

Pun begitu, seperti kata Bang Selamat dalam filem Sumpah Orang Minyak, ”Mengapa gila sebelum ditakdirkan?”.


MEOR YUSOF AZIDDIN ialah seorang penulis dan pemuzik jalanan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.