Skip to main
Logo Malaysiakini

CERPEN SATIRA | Yang paling aku benci

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

CERPEN SATIRA | Pokok hujan semakin rendang, daunnya kelam. Angin menghinggut pokok-pokok dengan keras. Lalang tersembam, tidak bangun-bangun. Beberapa detik kemudian hujan mencurah-curah bersama jerkahan halilintar.

Mereka bergegas ke bawah pokok yang terdekat untuk berteduh.

Kaer dan Amar ialah dua sahabat pencinta alam. Seperti anak-anak generasi millenium yang lain, mereka berjuang untuk melestarikan alam sekitar dengan mengutip sampah di sepanjang denai hutan simpan itu pada setiap hujung minggu.

Walaupun kesedaran mereka tinggi untuk menjaga alam sekitar, masih ramai pula yang merosakkan keindahannya.

“Amar, dalam banyak-banyak manusia, manusia jenis apa yang paling kau benci?” tanya Kaer tiba-tiba.

“Jenis berlagak suci, padahal paling busuk hati,” jawab Amar pantas, seolah-olah sudah bersedia sejak awal dengan jawapan itu dalam fikirannya.

“Banyak sungguh jenis ni kalau kita tengok di medsos, kan?” balas Kaer.

“Hurm...”

“Lagi satu jenis manusia yang paling aku meluat ialah yang menjual agama untuk keuntungan duniawi."

“Maksudnya, macam ustaz-ustaz politik yang masih mengaku agamawan sedangkan diri mereka bergelumang najis politik?"

“Yalah. Itupun ada orang yang masih taasub kepada mereka. Aku pernah kena kecam dengan ahli keluarga sendiri dalam group WhatsApp sebab kutuk ‘agamawang’ yang mereka puja,” kata Amar sambil tersengih.

Keadaan hutan semakin gelap walaupun baru jam dua petang. Hujan tidak menunjukkan mahu reda. Air sungai berdekatan denai sudah naik tinggi.

Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat seperti bom di kuari bijih besi tidak jauh dari situ, diikuti dengan bunyi seakan tapak kaki kumpulan kuda liar sedang berlari sangat pantas menuruni cerun. Bunyi itu sungguh menakutkan.

“Aku rasa, itu bunyi kepala airlah Amar. Jom kita lari. Nanti dilandanya kita, mati!” teriak Kaer.

“Tapi kita jauh dari sungai tu. Di sini rasanya lebih selamat. Ada pokok besar ni, kita pasti selamat,” balas Amar.

Pokok besar itu terselamat daripada ditebang manusia kerana berada di dalam hutan simpan. Lebar perdunya kira-kira pemeluk lima orang lelaki dewasa yang menghubungkan tangan mereka. Banirnya sahaja setinggi seorang lelaki dewasa. Tinggi pokok itu pula tak terjangkau dek mata.

Kata pegawai hutan tempoh hari, usia pokok tualang itu sudah menjangkau lebih tiga ratus tahun.

Selang beberapa minit, keduanya terlena di celah banir tualang tua disebabkan keletihan mendaki dan mengutip sampah sarap. Dalam tidur yang nyenak itu, mereka berdua mendapat mimpi yang sama. Tualang tua tempat mereka berteduh tiba-tiba berkata-kata.

“Tidak ada yang lebih kubenci selain manusia yang tamak haloba dan mabuk kuasa!” jerit si tualang tua sambil menggoyang-goyang dahannya seperti tangan manusia. "Kerana wang mereka sanggup menjual harga diri dan memakan rasuah. Balak ditebang kononnya untuk mencerahkan hutan. Hendak ditanam Musang King, dicerahkan lagi untuk dibuat kuari. Itu bukan pembalakan konon. Itu hanya pencerahan hutan,” tambah Si Tualang tua. Terbatuk-bauk seusai berbicara.

Amar dan Kaer terpinga-pinga saat terkejut daripada tidur. Lena mereka direngguh oleh rasa basah pada kaki dek air yang sudah naik sampai ke banir pokok.

Mereka terkejut kerana paras sungai sudah naik sampai ke situ. Arus deras membuat pokok-pokok bungkas dan hanyut ke hilir. Ketika pokok mereka berteduh sedang tumbang ke dalam air, mereka terdengar bunyi suara, “Benci aku! Benci aku! Benci aku!” berulang kali sehingga mereka ikut tenggelam dan hanyut bersama-sama.


SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri ialah penulis kreatif separuh masa yang sepenuh masa mencintai alam sekitar. Dia juga berminat mengambil tahu tentang hal-hal politik semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.