R Kelly disabitkan bersalah terlibat zalimi wanita, kanak-kanak
Penyanyi terkenal era 1990-an, R Kelly didapati bersalah mengeksploitasi statusnya sebagai artis superstar untuk melakukan aktiviti jenayah membabitkan wanita dan kanak-kanak selama dua dekad.
Sepanjang tempoh enam minggu perbicaraan ke atas penyanyi I Believe I Can Fly itu, 11 individu - sembilan wanita dan dua lelaki - tampil sebagai saksi bagi menggambarkan penderaan seksual dilakukan artis terbabit.
Juri kemudian mendapati Kelly bersalah atas semua pertuduhan berkenaan. Mahkamah memutuskan 4 Mei untuk tarikh mengumumkan hukum. Kelly berdepan kemungkinan hukuman penjara sepanjang hayat.
Juri mendapati pemilik nama penuh Robert Sylvester Kelly itu sebagai pemimpin skim ganas dan paksaan yang mengumpan wanita dan kanak-kanak untuk didera secara seksual.
Menurut laporan BBC, penyanyi itu yang turut terkenal dengan lagu Ignition (Remix) juga didapati memperdagangkan wanita antara pelbagai negara di AS dan membuat bahan pornografi kanak-kanak.
Daripada lapan pertuduhan pemerdagangan seks, Kelly didapati bersalah melakukan pemerasan - tuduhan yang biasanya digunakan terhadap jenayah terancang.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Sonja memberi keterangan, Kelly, 54, mengurung, memberi dadah dan merogolnya.
“Saya dah bersedia untuk menjalani kehidupan bebas daripada ketakutan dan mulakan proses penyembuhan,” katanya.
Dokumen mahkamah mendedahkan penderaan mental yang dilakukan Kelly kepada mangsanya.
Misalnya mereka tidak dibenarkan makan atau menggunakan bilik mandi tanpa kebenaran. Selain itu, dia juga mengawal pakaian yang akan dikenakan serta memaksa mereka memanggilnya Daddy.
Gloria Allred, peguam yang mewakili beberapa mangsa memberitahu wartawan ia adalah kes paling serius membabitkan pemangsa seksual yang dikendalikannya sepanjang 47 tahun dia berkhidmat sebagai peguam.
“Antara semua pemangsa, Kelly adalah yang paling teruk,” katanya.
Sabitan ke atas Kelly itu dibuat 13 tahun selepas dia dibebaskan daripada tuduhan pornografi kanak-kanak dalam perbicaraan di Illinois.
Banyak tuduhan yang disebut dalam perbicaraan pertama kali didedahkan dalam dokumentari 2019 berjudul Surviving R Kelly.
Mangsa kadang-kadang terdiri daripada penonton yang menghadiri konsertnya atau tertarik untuk mengikuti penyanyi itu selepas mereka ditawarkan peluang kerjaya dalam muzik.
Tetapi selepas menyertai rombongannya, mangsa mendapati mereka dikenakan syarat yang ketat dan dihukum secara agresif jika melanggar apa yang disebut sebagai “peraturan Rob.”
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai