Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Syarat sejuta pengikut usah sampai melingkup

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Seorang pengarah drama pernah mengeluh kerana selama sehari suntuk dia terpaksa membazirkan masa hanya untuk mengajar teknik lakonan kepada seorang pelakon baru.

Kalau diikutkan ego sebagai pengarah mahu saja dia menghalau pelakon itu, tetapi dia teragak-agak dan terperangkap dalam dilema untuk bertindak melulu kerana pelakon bengap berkenaan memegang watak utama.

Bukan itu saja. Apa yang lebih penting, pelakon tersebut merupakan pilihan produser drama serta stesen TV yang akan menayangkan karya tersebut.

Pertembungan emosi di antara pengarah dan produser sering terjadi dalam penerbitan drama tempatan muktakhir ini. Kerusi pengarah yang dahulunya dipandang tinggi, kini tidak lagi dihormati.

Hal ini kerana kuasa untuk menentukan pilihan bagi menyiapkan sesebuah karya bukan lagi berada di tangan pengarah. Kini kata putus untuk menentukan siapa pelakon yang akan membawa watak utama atau pembantu yang dibayangkan dalam sesebuah skrip asas sudah berada di tangan produser.

Itu pun selepas ia diperkenankan sesebuat stesen TV atau penyiar.

Lebih haru, ketika sesi pitching hanya produser dan penulis skrip yang bersuara.

Pengarah tiada pilihan kerana sejak pendemik Covid-19 melanda, ramai kalangan mereka yang menganggur. Membangkang kehendak produser dan stesen TV demi menegakkan prinsip bermakna dapur di rumah tidak akan berasap.

Tak semua benar-benar berbakat

Jauh berbeza pada era kemunculan projek drama swasta pada awal 1980-an apabila produser memberi kuasa penuh kepada pengarah untuk menentukan siapa pelakon yang akan membintangi drama mereka.

Terbaru timbul pula isu stesen TV meletakkan syarat untuk pemegang watak utama sesebuah drama atau telefilem. Mereka diwajibkan mempunyai satu juta pengikut (follower) di Instagram.

Difahamkan syarat berkenaan memang tertumpu kepada saluran TV berasaskan penstriman, tetapi implikasinya tetap terpalit pada dunia lakonan itu sendiri.

Biarpun ada produser menyokong tetapi syarat itu tidak disenangi penggiat seni selain dikecam netizen kerana hakikatnya bukan semua pelakon yang mereka minati - atau yang benar-benar berbakat - mempunyai pengikut seramai itu.

Setakat puluhan ribu itu pengikut itu mungkin biasa, tetapi angka sejuta itu memberi kesan kepada pelakon tidak aktif di media sosial.

Semakan terkini mendapati Namron atau Shaili Abdan mempunyai 107,000 pengikut di Instagram. Bermakna kalau mengikut syarat stesen berkenaan ‘menggigit jarilah’ Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29 yang juga Pengarah Terbaik FFM je-30 itu untuk memegang watak utama lagi.

Namron

Pelakon Nora Danish menjadi artis pertama di tanah air kita berjaya mengumpul lebih sejuta pengikut di Intagram. Ia berlaku pada  6 Ogos 2014. Nora mengetepikan selebriti popular lain seperti Zizan Razak  (725,000) Siti Nurhaliza (695,000) dan Scha Al-Yahya (673,000).

Syarat sejuta pengikut menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Annuar Musa yang menegur supaya industri kreatif memberi platform sama rata buat semua pelakon.

Kalangan pemimpin persatuan seni menyambut baik saranan menteri baru itu, tetapi harus diingat stesen swasta mempunyai alasan atas tuntutan komersial, mengejar rating bagi menarik pihak pengiklanan sekali gus menjaga penjenamaan konten supaya kekal relevan.

Sukarnya mendapat tempat

Dalam keadaan begitu, tidak hairanlah drama TV sekarang ini menampilkan ramai pelakon baru yang memegang watak utama. Mereka itu mengisi kekosongan atau menjadi pelapis pelakon senior yang pernah memeriahkan drama tempatan seperti  Eizlan Yusof, Adi Putra, Azri Iskandar, Zamarul Hisham, Fahrin Ahmad, Arash Mohamad, Norish Karman, Haliza Misbun, Ellie Suriati, Fasha Sandha, Siti Sharizah (Eja)  dan Fouziah Gous.

Kemunculan ramai pelakon baru yang datangnya dari entah ceruk mana mencetus kelucuan buat Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim (Mat London).

Ketika dihubungi Ahmad menjelaskan dia pernah berselisih dengan kalangan pelakon baru dalam beberapa program hiburan sebelum ini dan dia sendiri tidak tahu mereka itu adalah pelakon watak utama.

Jika kembali ke era P Ramlee, untuk tempoh dua tahun seniman agung itu dibayangi Bachtiar Effendi, S Roomai Nor dan Osman Gumanti. Jika diikutkan kebolehan, P Ramlee memiliki kelebihan mencipta lagu serta menyanyi namun pengarah BS Rajhans dan Malay Film Productions lebih yakin ketiga-tiga aktor itu menjadi hero.

P Ramlee

Sehinggalah L Krishnan membuat eksperimen meletakkan P Ramlee menjadi hero dalam filem Bakti pada 1950. Begitulah sukarnya seorang seniman agung untuk mendapat tempat.

Berbeza dengan keadaan sekarang apabila ramai pelakon baru muncul dalam filem mahupun drama TV dan begitu mudah diangkat memegang teraju utama.

Sistem studio di era kemuncak filem Melayu adalah ‘universiti’ terbaik melatih pelakon. Trend melahirkan pelakon berbakat diteruskan Kompleks Budaya Negara (KBN) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Hasilnya muncul pelakon berbakat besar dan berkaliber seperti Zulkifli Zain, Hail Amir, Uji Rashid, Que Haidar, Zul Huzaimy, Mohd Amerul Affendi Mawardi, Dr Rosdeen Suboh, Hairi Safwan dan ramai lagi.

Penonton ada banyak pilihan

Pengambilan pelakon hanya bersandarkan jumlah pengikut berjuta di media sosial ini lebih kepada konsep "untung sabut timbul, untung batu tenggelam." Sekiranya pelakon terbabit memang memiliki bakat dan ada pakej komersial, itu bonus buat produksi.

Apa yang terjadi ialah, ada kalangan mereka itu bukan selebriti tetapi 'bertuah' kerana memiliki pengikut berjuta-juta orang dan menjadi instafamous namun kualiti lakonan mereka biasa-biasa, malah tiada aura untuk meninggalkan kesan kepada penonton.

Untuk dua tiga tahun sebelum pendemik, siapakah pelakon watak utama yang mutu lakonan mereka itu standing dengan pelakon lelaki dan wanita disenarai tadi? 

Agak keterlaluan sekiranya mahu membandingkan pelakon utama drama sekarang dengan aktor seperti Eman Manan, Ahmad Tamimi Siregar, Shukery Hashim, Mustapha Kamal, Rosyam Nor, Redzuan Hashim, Sidi Oraza, Rusdi Ramli, Azean Irdawaty, Fauziah Nawi, Ogy Ahmad Daud  dan Khatijah Tan.

Gambar hiasan

Ramai juga pelakon utama sekarang bersaiz badan agak kecil dan tidak memiliki pakej yang sepatutnya. Situasi ini berlaku ketika penonton ada banyak pilihan untuk menyaksikan drama di pelbagai stesen ataupun platform lain.

Bukan asing lagi bagi kita melihat ada rakyat negara ini yang menjadi peminat tegar drama Korea, Filipina, Thailand, Indonesia, China dan Turki.

Sekiranya pelakon tidak dapat menambat selera penonton tempatan, mereka sendiri yang rugi dari segi populariti. Keadaan ini samalah seperti apa yang terjadi pada era 1970-an tatkala filem Melayu merosot. Ketika itu orang ramai lebih meminati pelakon filem Hindustan, Indonesia dan Hong Kong.

Untuk mengecam lakonan mereka sebagai tidak menepati piawaian seperti tidak adil juga kerana pihak produksilah yang lebih ghairah menarik instafamous bagi memeriahkan pestas lakonan.

Andai ada kesedaran, produser bolehlah menghantar mereka itu menghadiri kursus lakonan terlebih dahulu sebelum melangkah ke lokasi. Ia lebih baik daripada pengarah terpaksa membuang masa di lokasi hanya untuk memperbetulkan teknik lakonan ketika kemahiran itu sepatutnya sudah ada sebelum mereka hadir untuk beraksi di depan lensa kamera.

Tidak pun, biarlah ada kesedaran pada pelakon baru itu untuk mengambil inisiatif menajamkan lakonan masing-masing dengan memimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman. Jika tidak lakonan yang dipersembahkan kekal hambar.

Maka pihak produksi dan stesen TV seolah-olah tertipu dengan pengikut yang berjuta-juta itu.

Gambar hiasan

Media sosial itu sendiri terpalit dunia tipu-tipu. Tidak semua selebriti dan instafamous itu genuine. Lalu tidak hairanlah ada pelakon yang 'suam-suam kuku' saja tetapi pengikut mereka berjuta. Hakikatnya ada cara boleh dilakukan untuk menaikan jumlah pengikut di media sosial.

Cuma hal ini boleh saja didedahkan jika pihak yang berkenaan membuat sedikit siasatan dan kajian.

Julai lalu Atikah Suhaimi berasa pelik kerana video atau gambar yang dimuat naik kurang mendapat like walhal dia mempunyai pengikut seramai sejuta orang.

Dua hari lalu, Atikah memuat naik gambarnya berkebaya dengan kapsyen: "Was so happy to take part in @mencaripuspawangi” dan hantaran tersebut sekadar mendapat 2,917 like dan 19 komen ketika rencana ini ditulis.

Natijahnya, pengarah haruslah bijak menilai setiap bakat baru bagi menjaga standard drama tempatan. Kualiti drama negara jiran dari segi teknikal dan lakonan pelakon kian bermutu.

Kita sendiri maklum pelbagai produk drama luar bermaharajalela di stesen TV kita berbanding drama tempatan yang sekadar berkokok di laman sendiri. Kalaupun ada yang mahu dibanggakan hanyalah animasi Upin dan Ipin yang menjadi sohor di Indonesia.

Sindiran P Ramlee melalui dialog Kemat Hassan dan Ahmad Nisfu dalam filem Seniman Bujang Lapok memberikan gambaran terhadap kesan jika sesebuah produksi tersalah memilih pelakon.

Ia bukan saja menjejaskan pelakon terbabit malah filem atau drama ikut sama melingkup.

Manager Kemat Hassan: “(Ketawa) Bagus, Tuan Director, bagus! Inilah pelakon komidi yang kita nak cari sekarang Tuan Director…”

Ahmad Nifsu: Ahhh (terperanjat)… hmmmm! Sudahlah, suruh dia melingkup.


ADAM SALLEH ialah bekas pengarang akhbar kumpulan Media Prima.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.