Kerakyatan anak: Susah sampai Loca B rasa zuriat macam bukan anak sendiri
Gara-gara bergelut untuk mendapatkan status warganegara buat zuriatnya, Loca B mengakui ada ketikanya dia berasa anak sulung yang dilahirkan itu seolah-olah bukan anaknya.
Dia juga meluahkan rasa terkilan akibat berdepan kesulitan hasil dasar kerajaan yang dianggap mendiskriminasi wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warganegeara asing dan melahirkan anak mereka di luar ngeara.
Kerana dasar itulah katanya dia masih berdepan pelbagai kesulitan untuk mendapatkan kewarganegaraan untuk anaknya, Yusuf Alexander.
“Ibu-ibu yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara memang terasa seerti didiskriminasi," katanya.
Loca B juga memberitahu dia dimaklumkan peguamnya bahawa proses mendapatkan kewarganegaraan untuk seseorang anak selepas berusia tujuh tahun akan menjadi lebih mencabar.
“Ketika ini apabila saya perlu turun naik sana sini untuk buktikan bermacam-macam perkara melalui dokumentasi, kadang-kadang saya rasa macam Yusuf ini dah bukan anak sendiri," keluhnya kepada Malaysiakini.
Menurut penyanyi hip hop itu lagi ketika ini timbul pelbagai kebimbangan mengenai masa depan Yusuf memandangkan visa anaknya itu sudah tamat tempoh pada 22 Sept lalu dan pada masa sama proses untuk memohon kerakyatan Malaysia sangat mencabar.
Sampai teresak-esak
Antaranya, kata Loca B, dia perlu mengangkat sumpah di Rusia untuk mendapatkan dokumen persetujuan daripada bapa Yusuf yang menetap di sana.
“Saya cuma mahu Yusuf ada bersama saya, tak sepatutnya proses untuk anak saya tinggal dengan saya di negara ni sesukar ini. Sekarang ini menangis dalam kereta (kerana mengenangkan masalah dihadapi) dah menjadi perkara biasa.
“Saya pasti bukan saya saja menerima nasib begini. Pasti ada ramai ibu yang lain berkongsi perasaan sama yang risaukan masa depan anak-anak mereka,” katanya.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Nabilah Hani Azali itu dalam nada teresak-esak memuat naik sebuah klip video di Instagram bagi meluahkan kekecewaanya selepas sekali lagi dia berdepan kegagalan untuk mendapatkan taraf kerakyatan buat Yusuf.
Katanya, sebelum ini proses berkenaan tertangguh selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.
Untuk rekod, bapa Yusuf seorang warganegara Rusia dan anak mereka dilahirkan di United Kingdom.
Loca B kini mendirikan rumah tangga dengan seorang lagi penyanyi rap dari kumpulan K-Clique, Muhd Azree Shah Awang Zamree atau Tuju. Pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Bintang Aiko.
Isu kewarganegaraan automatik kepada bayi yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara menjadi perhatian ramai dan dipolemikkan apabila kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mungkin terpaksa berpisah
Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman, ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini turut meminta kerajaan berlaku adil dalam isu hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak terbabit.
Bekas menteri undang-undang itu mempersoalkan mengapa Putrajaya masih bertegas untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik diberi kepada bayi yang dilahirkan wanita Malaysia selepas mereka berkahwin dengan pasangan negara asing.
Loca B berkata, dia cukup risaukan masa depan Yusuf yang tidak terbela jika mereka berterusan menghadapi kesulitan.
“Adakah saya mungkin terpaksa berjauhan daripada Yusuf suatu hari nanti? Hal itu tak mustahil terutama jika Yusuf diarahkan pulang ke Rusia ekoran gagal mendapatkan taraf kewarganegaraan.
“Setiap tahun pula perlu perbaharui visa sebanyak RM150. Tapi jika terlepas, perlu bayar RM700. Yusuf pun tak ada insurans.
“Saya boleh bekerja keras untuk besarkan Yusuf. Tapi macam mana dengan ibu- ibu lain yang tidak berkemampuan? Soal perubatan, persekolahan dan bagaimana pula faedah pekerjaan untuk mereka bila besar nanti,” katanya.
Justeru, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-35 melalui lagu Gila itu berharap, kerajaan lebih prihatin soal kanak-kanak terbabit.
Katanya, dia berharap keluh-kesahnya itu mendapat perhatian pihak sewajarnya terutama daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.
“Saya tak faham mengapa kerajaan nak lawan keputusan mahkamah tinggi itu.
“Saya harap kerajaan boleh tarik balik rayuan tersebut dan menyenangkan lagi proses supaya anak-anak yang senasib dengan Yusuf boleh mendapat hak mereka,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai