Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Tawaf tujuh kali keliling Pasar Seni

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pasar Seni secara rasminya dibuka pada April 1986.

Sebelumnya bangunan ini merupakan pasar basah, tempat orang jual ikan, daging, babi dan sayur, selepas dibuka oleh Yap Ah Loy pada 1888.

Saya mula menjejakkan kaki di Pasar Seni waktu awal pembukaannya 1986. Ini memang tempat orang seni yang asli, yang tidak dibuat-buat.

Ia tempat berkumpul warga marhaen, pencari jiwa, yang lepas mahupun sangkut, yang tenang mahupun resah.

Banyak cerita diperoleh sepanjang saban hari saya melepak di sana.

Banyak cerita di Pasar Seni, umpama Hikayat 1,001 malam.

Pada awal pembukaannya memang tidak bermotifkan keuntungan, sewa untuk peniaga pun sangat murah berbanding sekarang.

Pada mulanya, dibuka ruang sewa untuk pelukis potret dengan harga cuma RM10 sehari, berbanding RN2,000 sebulan seperti kadar sewanya hari ini.

Tapi realitinya, kadar sewa untuk RM2,000 sebulan untuk ruang pelukis itu masih dikira murah, memandangkan lokasi Pasar Seni yang strategik - di tengah-tengah kota.

Menurut seorang kawan saya yang menyewa ruang kedai di situ, sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mereka tidak boleh berniaga, diskaun sewa diberikan sehingga 100 peratus.

Penulis ketika bermain muzik di Pasar Seni

Di Pasar Seni waktu era 80-an, ada geng baca sajak oleh seniman, antaranya Khalid Salleh, Sani Sudin, Pyanhabib, Siso, Kamarol Hj Yusof dan Nasir Jani.

Saban petang mereka akan melolong bersajak di laluan menghala Dayabumi. Ini satu pencerahan yang menarik untuk peminat seni yang tidak konvensional.

Biasanya persembahan sajak dan puisi diadakan di majlis-majlis seni dan sastera, di Pena, Gapena mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka( DBP).

Di Pasar Seni tidak, di jalanan pun kita boleh menontonnya secara santai dan bebas.

Di Laluan Kasturi pula ada geng busker (pemuzik jalanan) membuat persembahan seperti Adi Jagat, Sidek dan Wahid.

Dan tradisi busking di Pasar Seni diteruskan dari generasi ke generasi sehinggalah Kasturi Walk dibina, juga berpuluh kiosk untuk peniaga.

Secara tidak langsung tidak ada tempat lagi untuk para busker membuat persembahan.

Plastik tanpa jiwa

Kalau ditanya apa tarikan sebenar Pasar Seni, bagi saya golongan pelukis yang melukis di situ. Itu yang membezakan Pasar Seni dengan Kompleks Pertama, Campbell, Petaling Street dan Bukit Bintang.

Hari ini Pasar Seni lebih kurang sama seperti Petaling Street, tak ada bezanya. Memang cantik luarannya, tapi ia plastik tanpa jiwa.

Memang ada pelukis di bangunan Annexe belakang Pasar Seni, namun ia tetap tidak sama seperti di era 80-an dan 90-an.

Stok barang yang nak dijual pun dibeli di Jalan Kenanga kebanyakannya. Kita boleh dapatkan barang yang sama di Wisma Yakin mahupun Petaling Street.

Kedai dalam Pasar Seni, gambar hiasan

Kalau dulu di era 80-an, geng muzik underground, geng baca sajak, geng busker berkumpul di Pasar Seni, lambang cool, rugged dan rebel anak muda zaman itu.

Rebel kerana muzik underground ini against mainstream. Geng baca sajak dan geng busker tak ada permit pun untuk buat persembahan jalanan.

Geng busker kadang dikacau juga oleh pihak penguasa, semuanya atas ehsan dan budi bicara mereka.

Pasar Seni umpama magnet bagi pencari jiwa, yang lepas mahupun tak lepas. Berbagai spesis dan aliran muncul, ramai guru-guru agama bersidang mencari pengikut.

Umpama lukisan abstrak Van Gogh yang kita pun bukannya faham sangat makna garis dan lakarannya, tapi ia menjadi menarik dan misteri kerana lukisan ini subjektif sifatnya, bergantung pada tahap pemahaman kita.

Setiap minggu atau hujung bulan ada program kesenian dan persembahan muzik di pentas belakang Pasar Seni. Sempatlah saya menonton persembahan Kopratasa, Wai Zek, Made In Malaysia dan ramai lagi pemuzik dan artis yang buat persembahan di situ, selain program kesenian dan kebudayaan.

Waktu itu, sehari kalau tak turun Pasar Seni seakan hidup kita tidak sempurna. Jam 10 malam Pasar Seni ditutup, dapat lepak dalam 15 minit itu sudah mencukupi.

Orang gila, gila, gila dan macam gila juga sering berkunjung ke Pasar Seni. Mengapa Pasar Seni, tidak di Pertama Kompleks, Dayabumi atau Bukit Bintang mahupun Petaling Street?

Ramai guru falsafah dan aliran tak ada tauliah bersidang mengadakan perjumpaan dengan pengikut, yang menggelarkan diri sebagai wali Allah, yang terpilih.

Ada wali yang katanya ke Mekah dengan menaiki angsa putih. Ada yang kata dah jumpa Tuhan yang rupanya seekor kucing, yang menghairankan ada yang percaya akan ceritanya.

Ada yang janggutnya boleh lilit masjid, macam-macam. Cerita-cerita begini hanya boleh didapati di Pasar Seni, pusat kejiwaan para jiwa yang resah.

Saya memulakan karier busking di Laluan Kasturi awal tahun 2,000.

Tawaf 7 kali keliling Pasar Seni

Macam-macam pengalaman yang saya lalui. Salah satunya pengalaman dengan orang yang gila isim. Tujuh kali dia tawaf mengelilingi bangunan Pasar Seni dan akhirnya sujud di hadapan saya dan rakan-rakan yang sedang busking.

Yang berlakon macam orang gila berguling-guling dengan gaya kuak kupu-kupu yang akhirnya kita dapat tahu dia seorang special branch. Ini pun ada.

Pasar Seni dinaik taraf pada tahun 2004 di zaman Pak Lah dan ditukar nama menjadi Pasar Budaya. Pada 2011 sekali lagi dinaik taraf, dari Laluan Kasturi ke Kasturi Walk.

Namun sepanjang pandemik sejak 18 Mac 2020, kompleks tersebut sepi tanpa pengunjung. Ramai penyewa yang angkat kaki kerana perniagaan mereka yang terjejas teruk kesan pandemik.

Pasar Seni, pusat kesenian bagi jiwa yang tidak konvensional.


MEOR YUSOF AZIDDIN ialah penulis dan pemuzik jalanan. Bukunya berkaitan pengalaman di Pasar Seni sejak hujung 80-an sedang dalam proses penerbitan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.