Skip to main
Logo Malaysiakini

'Syarat sejuta pengikut boleh jadi punca terkuburnya seni'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beto Kusyairi menjadi selebriti terbaru menyindir tindakan pengamal industri kreatif tertentu yang mahukan seseorang pelakon memiliki sejuta pengikut di media sosial sebagai prasyarat untuk diambil bekerja.

Beto meluahkan kekecewaannya berhubung isu tersebut melalui beberapa siri ciapan di Twitter miliknya.

“Jika benar sejuta itu syarat, maka ia juga syarat terkuburnya seni dan kesenian. Jika yang bagus tidak punya sejuta, yang sejuta juga belum tentu bagus.

“Masih tak jauh berbeza untuk 10 hingga 20 tahun dulu. Dan kini, budaya mengharap dan menjual mereka yang mempunyai berjuta pengikut pula makin menular.

“Kualiti telah jatuh nombor dua. Yang penting, jual. Yang kaya makin kaya, yang merintih makin merana,” tulisnya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pengarah dan pelakon Namron berkata, pihak penyiar atau penerbit tidak wajar menurunkan taraf dunia lakonan menjadi sesuatu yang bersifat murahan.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran terdapat trend pihak penyiar tertentu yang menetapkan syarat kepada pelakon bahawa mereka perlu sekurang-kurang sejuta pengikut di media sosial bagi membolehkan mereka menerima tawaran kerja.

Terdahulu, pengarah Gedebe tersebut memuat naik imej dirinya separuh bogel di media sosial, hantaran bersifat sinikal itu dibuat sebagai reaksi balas kepada syarat dikenakan penyiar terbabit. 

Beto, 41, juga menyentuh isu peruntukan sebagai respons kepada ciapan seorang pengguna Twitter yang menganggap hal itu tidak penting berbanding penambahbaikan kualiti pada karya tempatan.

“Kalaulah tak perlukan bajet untuk dapatkan penulis dan pengarah yang bagus bagi mengolah sesuatu drama ikut logik, untuk kamera atau pencahayaan, keperluan penggambaran, untuk dapatkan tenaga kerja ikut kepakaran masing-masing dan bahagian-bahagian lain. Kalaulah…

“Kerja-kerja sebegini memerlukan kepakaran, pembuatan, masa, tenaga dan macam-macam lagi. Dan kesemuanya ada harga dan bukan percuma. Nak bagus serba serbi perlu ada modal besar.

“Dan ia tak berhenti bila barang siap. Pemasaran dan pasukan lain pun nak bajet juga,” ciapnya lagi.

Kata pemilik nama asal Nurkusyairy Zakuan Osman itu sekiranya tidak mementingkan soal bajet, sudah pasti mutu sesebuah karya tidak boleh mencapai tahap yang diinginkan.

“Lalu akan terlihatlah pada visual segala kekurangan, dari sudut penulisan hinggalah hasil akhir produk kerana banyak kekangan akibat bajet yang ciput (sedikit) dan tidak memadai dengan permintaan. Itu realiti,” ciapnya.