Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak Shah Rukh Khan disiasat kes dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anak kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan antara lapan individu ditahan polis India dalam satu serbuah dadah oleh Biro Pengawalan Narkotik(NCB) di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai.

Aryan Khan, 23, dan tujuh yang lain ditahan pegawai NCB yang melakukan penyamaran ketika melakukan serbuan di atas Cordelia, ketika kapal itu berlayar menuju ke Goa pada 2 Oktober lalu.

NCB Mumbai dalam satu kenyataan semalam berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Seramai lapan orang, termasuk dua wanita telah ditangkap dan kaitan mereka dengan serbuan tersebut sedang disiasat,” katanya dipetik NDTV.

Serbuan menemukan 13 gram kokain, 21 gram kanabis, 22 pil methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan 5 gram dadah jenis mephedrone (MD).

Peguam Aryan, Satish Maneshinde yang memfailkan jaminan berkata, anak guamnya ditahan hanya berdasarkan maklumat melalui perbualan di aplikasi WhatsApp.

“Aryan tidak mempunyai tiket, tiada kabin mahupun tempat duduk atas kapal persiaran tersebut. Dia berada di sana kerana dijemput. Malah dia juga tidak mempunyai pas masuk.

“Tiada sebarang dadah ditemui padanya. Dia ditahan berdasarkan maklumat dari ruang sembang saja,” katanya.

Difahamkan, bayaran masuk untuk pesta di atas kapal persiaran itu dalam lingkungan Rs1 lakh (RM5,636).

Seorang Pegawai NCB yang enggan dikenali berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai dakwaan parti dadah dan menghantar pegawai polis menyamar sebagai penumpang kapal yang berlepas pada malam Sabtu itu.

Bagaimanapun, kapal itu dibenarkan meneruskan perjalanan selepas lapan suspek dibawa ke darat.

Minggu lalu, pasukan NCB Mumbai dan Goa dalam operasi bersama telah menangkap rakan kongsi pelakon Bollywood, Arjun Rampal, Gabriella Demetriades dari Goa berkaitan dengan kes dadah.

Shah Rukh Khan, 55, antara bintang paling popular di India dan berjaya mengelak kontroversi sepanjang tiga dekad berkecimpung dalam bidang seni.