Skip to main
Logo Malaysiakini

Supermodel dakwa diraba Robin Thicke sewaktu hasilkan Blurred Lines

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Supermodel Amerika, Emily Ratajkowski mendakwa dia diserang secara seksual penyanyi Robin Thicke sewaktu penggambaran video muzik lagu yang pernah hit, Blurred Lines pada 2013.

Selebriti berusia 30 tahun itu - yang mencipta nama menerusi video muzik tersebut - mendakwa Thicke meraba tubuhnya tanpa izin dalam bukunya yang bakal diterbitkan berjudul My Body.

Emily berkata, sewaktu penggambaran, Thicke kembali ke set dalam keadaan sedikit mabuk untuk meneruskan sesi itu dengannya.

“Entah dari mana, saya berasa tangan seseorang meraba dada dari belakang. Ekoran tindakannya, saya segera mengalihkan badan dan berpaling ke belakang,” tulisnya seperti dipetik BBC.

Pelakon Gone Girl itu menyifatkan perbuatan Thicke merupakan satu penghinaan terhadapnya.

Selain Thicke, turut muncul dalam video muzik berkenaan adalah rakan duet penyanyi itu, Pharrell Williams dan penyanyi rap TI.

Pengarah video muzik, Diane Martel berkata, dia masih ingat insiden yang berlaku kepada Emily.

“Saya ingat saat dia (Thicke) meraba dadanya. Dia sedang berdiri di belakang model itu,” katanya.

Menurut Diane, Thicke ada membuat permohonan maaf selepas itu.

Blurred Lines berjaya menduduki tangga teratas carta di banyak negara, menjadi lagu Inggeris paling banyak dimuat turun pada 2014.

Namun, lirik dan video muzik lagu tersebut mengundang kritikan ramai kerana didakwa membawa maksud negatif, seks tanpa persetujuan.

Malah, Pharrell turut pernah mengakui dia malu dengan maksud lirik lagu itu.

Ia juga diharamkan di beberapa universiti dan iklan yang memaparkan lagu dan aksi model dari video muzik yang juga diharamkan tayangan pada waktu siang pada 2013.

Bagaimanapun, Thicke mempertahankan lagu dan video itu dengan berkata pengkritik tidak memahami Blurred Lines.

“Saya tidak pernah dan tidak akan menulis sebuah lagu yang mempunyai konotasi negatif seperti yang didakwa,” katanya.

Kontroversi bukan setakat itu, apabila penjaga harta legenda muzik Marvin Gaye pernah menuntut hak cipta selepas Blurred Lines dituduh menciplak melodi Got to Give It Up nyanyiannya yang diterbitkan pada 1977.

Konflik itu berakhir selepas hakim memerintahkan Thicke dan Pharrell membayar hampir AS$5 juta (RM104 juta) kepada penjaga harta Gaye selepas mereka didapati melanggar hak cipta harta intelek.