Skip to main
Logo Malaysiakini

Jumlah pengikut media sosial pelakon bukan keutamaan TV Media Prima

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rangkaian Televisyen Media Prima memaklumkan jumlah pengikut yang tinggi di media sosial tidak menjadi faktor utama dalam pemilihan seseorang pelakon di stesen penyiaran tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof berkata, sebaliknya, pemilihan watak secara amnya tidak terhad kepada pelakon popular atau mempunyai pengikut tinggi supaya adanya variasi dalam lakonan.

“Pemilihan pelakon yang bersesuaian dengan watak dan jalan cerita adalah atas perbincangan bersama antara pihak stesen televisyen dan produksi.

“Namun, jumlah pengikut yang tinggi di laman media sosial bukanlah faktor utama dalam pemilihan pelakon.

“Kami sentiasa menampilkan seleksi pelakon yang berbeza untuk mencari keserasian, memberi elemen segar dan sentiasa ada kejutan buat peminat drama Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas ciapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa yang mengharapkan industri kreatif memberi platform sama rata kepada semua pelakon.

Melalui Twitter, Annuar berkata peluang perlu diberikan baik kepada pelakon yang baru masuk dengan sejuta pengikut ataupun mereka yang berbakat tapi tanpa pengikut ramai di media sosial.

Tindakan itu katanya, bertujuan untuk memeriahkan dan menaikkan mutu produksi industri seni tanah air.

Terdahulu, beberapa penggiat industri seni seperti Namron dan Beto Kusyairi meluahkan ketidakpuasan hati mereka ekoran terdapat stesen penyiar meletakkan syarat bagi watak utama untuk mempunyai sejuta pengikut di laman Instagram (IG).

Pada masa sama, Nini berkata, perkara paling utama yang dititikberatkan apabila seseorang pelakon diberikan tawaran kerja adalah mereka perlu memahami watak diberikan.

“Mereka bukan hanya melontarkan dialog malahan perlu menjiwai dan mendalami sesebuah naskhah supaya watak yang dibawa dapat menyentuh emosi penonton,” katanya.

Katanya, rangkaian TV Media Prima juga mempunyai pelbagai slot drama yang memaparkan genre drama berlainan bagi memenuhi cita rasa dan kehendak para penonton.

“Justeru, ia mewujudkan banyak peluang bagi pengkarya seni untuk menyumbangkan idea kreatif dan menyerlahkan bakat mereka,” katanya.

Menurutnya, pihak stesen juga menggunakan formula yang menggandingkan pelakon lama dan baru seperti dalam beberapa drama bersiri yang ditayangkan di saluran mereka.

“Gandingan seperti Umie Aida, Anna Jobling, Rita Rudaini dan Umie Aida, Fadlan Hazim, Aedy Ashraf dan Jabir Meftah dalam Shah Alam 4000 dilihat meraih sambutan penonton yang tinggi.

“Drama Ayahanda yang disiarkan di TV3 juga menggandingkan pelakon-pelakon lama yang berpengalaman dan baru seperti Jalil Hamid, Fauziah Ahmad Daud, Fikree Ibrahim, Noorkhiriah, Shahz Jaszle, Hairi Safwan, Rita Nadira dan Mimi Ernida, membuktikan kedua-dua generasi itu memainkan peranan penting dalam melonjakkan rating drama hingga berjaya meraih 4 juta tontonan di episod akhir.

“Pada masa yang sama, TV9 juga menyiarkan drama Budak Intern bersesuaian dengan TV9 yang kini memaparkan program-program yang lebih santai dan ceria. Perwatakan barisan pelakon seperti Intan Najuwa, Syafie Tee, Bella Dowanna dan Malek McCrone amat sesuai untuk penonton remaja kerana ia menceritakan perjalanan hidup mereka sebagai pelatih industri sebelum graduasi,” katanya.