Skip to main
Logo Malaysiakini

The Catcher impi pecah rekod dunia dengan supercar terbanyak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

The Catcher - yang diinsipirasikan dari Fast & Furious - menetapkan sasaran untuk mencatat rekod antarabangsa dengan pembikinan filem menggunakan kenderaan supercar paling banyak dalam sebuah karya.

Penerbit dan pengasas Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd, Ong Peng Chu, berkata filem aksi mengetengahkan konsep sukan permotoran dengan anggaran kos mencecah RM15 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada 2023.

“Daripada RM50 juta peruntukan, sebanyak RM15 juta digunakan sepenuhnya untuk penghasilan The Catcher, manakala selebihnya dirancang bagi membangunkan industri permotoran melalui Enhance Zone, Enhance Station dan Enhance Automotive City.

“Skrip untuk filem akan dimuktamadkan dan pencarian bakat bakal menyusul. Produksi pula dijangka bermula 2022 dengan jangkaan siap sepenuhnya pada 2023 sebagai filem aksi dengan bajet paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

“Bukan setakat itu, dengan adanya supercar seperti Ferrari, Lamborghini dan Nissan GT-R, kami juga berharap dapat memecahkan rekod antrabangsa sebagai naskhah yang memaparkan paling banyak kenderaan dalam sebuah filem aksi,” katanya kepada Malaysiakini.

The Catcher berkisahkan seorang pemuda kampung yang bekerja keras mengalahkan pencabar-pencabarnya dari seluruh dunia dengan menggunakan kenderaan yang diubah suai.

Mahu guna dua pengarah

Untuk aspek kejuruteraan dan teknikal, filem ditampilkan berbahasa Inggeris itu menggunakan khidmat nasihat Joe Lim Hun Beng yang memperkenalkan sukan permotoran ke China.

Sebanyak 80 peratus penggambaran bakal dilakukan dalam negara manakala beberapa babak lagi di Korea dan Thailand, namun bergantung pada situasi pandemik Covid-19.

Ditanya mengapa filem dibintangi Vin Diesel dan mendiang Paul Walker itu dijadikan sumber inspirasi, Ong berkata, pihaknya berharap dapat mengulangi kejayaan naskhah berkenaan kerana percaya karya yang memaparkan supercar mempunyai golongan peminat yang tersendiri.

“Idea tercetus dua tahun lalu selepas saya bertemu pengasas kelab supercar Robotz, Jeffrey Teoh. Dari situ kami banyak berbicara mengenai kelebihan untuk mengangkat filem genre sedemikian.

“Kami juga melihat ramai golongan muda yang belum mampu untuk memiliki kenderaan mewah tapi berminat dengan dunia pengubahsuaian motor, ini suatu idea yang diterapkan dalam karya tersebut,” katanya.

Dihasilkan melalui kerjasama Labuan Overseas Holding Berhad dan Robotz, filem tersebut kata Ong juga diusahakan untuk meningkatkan industri pelancongan Malaysia yang terkesan akibat pandemik dan seterusnya dapat merangsang pemulihan ekonomi.

“Kami akan memanfaatkan ciri-ciri sesebuah jenama untuk membangunkan harta intelek bersama dengan akreditasi bernilai tinggi, berdasarkan jenama dan prestasi kereta lumba yang boleh dijadikan tarikan seperti jenama hotel, bandar automotif, stesen minyak, taman tema dan sebagainya melalui jenama Enhance,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan pengarah dan barisan pelakon, Ong berkata, produksi merancang untuk menggunakan khidmat dua pengarah bagi merealisasikan filem yang diharap dapat menembusi pasaran luar selain mengharumkan nama negara melalui festival antarabangsa.

“Hasrat kami untuk mempromosi filem ni ke pasaran luar, justeru, produksi perlu memilih pengarah berbakat yang boleh terbitkan filem bertaraf antaranbangsa.

“Setakat ini, kami sudah menyenaraikan beberapa nama pengarah muda, ada antara mereka yang pernah terbabit dalam industri di Hollywood.

“Untuk pelakon pula, selain Malaysia, kami akan fokus pencarian pelakon yang berkemungkinan dari Korea dan China,” katanya.