Skip to main
Logo Malaysiakini

Sejuta pengikut media sosial bukan penanda aras populariti artis - Raja Ilya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Syarat pelakon perlu memiliki sejuta pengikut di media sosial sangat tidak masuk akal serta mengundang keburukan kerana jumlah itu boleh dibeli, kata Raja Ilya.

Menurutnya, mana-mana individu tidak popular sekali pun boleh mencapai angka sejuta melalui pengikut palsu yang boleh dibeli sekelip mata.

“Saya kena cakap juga perkara macam ni. Saya susah nak terima bila ada stesen televisyen yang menetapkan mesti mempunyai sekurang-kurang sejuta pengikut kepada pelakon.

“Jika tak ada, tak diambil berlakon. Kenapa sampai macam tu? Tahu tak perkara mengarut macam ni boleh menggalakkan pengikut palsu?

“Nak sejuta pengikut tak perlu jadi Datuk atau pelakon pun sebab semua boleh dibeli.

“Disebabkan syarat ni akan ada yang terpaksa beli pengikut,” katanya di Instagram.

Terdahulu, beberapa penggiat industri perfileman meluahkan ketidakpuasan hati selepas ada pihak penyiaran yang menetapkan harus memiliki sejuta pengikut untuk diambil bekerja.

Kata Raja Ilya, ketetapan sedemikian tidak wajar dijadikan keutamaan oleh mana-mana stesen televisyen memandangkan di negara luar ada naskhah tetap popular walaupun menggunakan khidmat pelakon tidak terkenal.

“Lagilah memalukan! Tak perlulah ikut ikut sangat apa yang orang lain buat. Daripada tengok pengikut pelakon di media sosial lebih baik tengok dalam rating stesen TV masing-masing.

“Apa yang kamu nak sebenarnya? Nak yang betul, ada kemahiran, bakat, bertahan lama dalam industri, menang banyak anugerah atau pengikut berjuta-juta?

“Pelakon drama bersiri Netflix Squidgame pun majoriti tak ada Instagram pun weiii. Baru buka akaun kot.

“Mereka pun tak ada pengikut sampai sejuta,” katanya.