Skip to main
Logo Malaysiakini

Zoey Rahman jadi saksi defendan dalam kes saman fitnah Siti Nordiana

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekurang-kurang tujuh orang saksi akan dikemukakan termasuk pelakon Zoey Rahman untuk perbicaraan membabitkan kes saman fitnah penyanyi Siti Nordiana terhadap lima individu pada 15 dan 20 Okt ini.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili defendan keempat (Sam Musyadzafar Samin) dan kelima (Razidah Ahmad Senusi atau lebih dikenali sebagai Aida G) berkata, dua anak guamnya itu juga akan memberi keterangan dari kandang saksi.

“Antara saksi yang akan dipanggil semasa perbicaraan ialah Zoey Rahman, pelakon yang pernah dikaitkan dengan Siti Nordiana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Siti Nordiana Alias selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Abang Azlan & Associates dengan turut menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam writ saman yang dihantar secara e-mel itu, Siti Nordiana 36, menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang ditentukan oleh mahkamah. 

Siti Nordiana adalah saksi plaintif yang pertama dan akan memberi keterangan dari kandang saksi.

Bicara saman fitnah tersebut sepatutnya bermula pada 29 Sept lalu tetapi ditangguhkan ke bulan ini berikutan tarikh tersebut bertindih dengan pendengaran kes sivil Abu Syafiq di Kuantan.

Nurul Hafidzah berkata dokumen, fakta yang dipersetujui dan fakta untuk dibicara telahpun difailkan.

“Kami belum menerima senarai saksi daripada Siti Nordiana dan mungkin akan dibekalkan pada hujung minggu ini,” katanya.