Skip to main
Logo Malaysiakini

MLM 2021 tampil kejutan, Atu dah tak bersama Zero

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bahang Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021) kini mula dirasai selepas lebih setahun berehat untuk memberi laluan kepada sebuah lagi program komedi terbitan Astro Warna, The Masked Singer Malaysia.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh, MLM 2021 yang bakal menampilkan sebelas kumpulan pada musim kesembilan itu hadir dengan gabungan yang akan memberi kejutan buat penonton demi merebut ganjaran wang tunai RM500,000.

“Gabungan yang amat tidak disangka-sangka, cukup unik dan keserasian yang akan mereka cetuskan sudah pasti membuatkan penonton hilang kata-kata.

“Gandingan yang saya maksudkan seperti trio adik beradik, Zero tidak lagi berada bersama sebagai sebuah kumpulan.

“Untuk mencetuskan kelainan dan mewujudkan elemen keserasian dengan kumpulan lain, buat julung kalinya, Atu menyahut cabaran untuk bersama dengan bekas Juara MLM 2016, kumpulan Bocey,” katanya.

Bukan setakat itu, kata Norzeha, gabungan baru juga akan menampilkan Vicha bersama kumpulan Puteh, mantan Juara MLM edisi 2019. Dua pemain komedi veteran, Azlee dan Yassin dari kumpulan Senario turut bersetuju untuk beraksi di pentas MLM musim ini.

“Namun, kedua-duanya tidak bergabung dalam satu kumpulan. Azlee bersama Ieda Moin dan Acong membentuk kumpulan Otai manakala Yassin bersama Achok serta Abu Mamu dalam Kumpulan Orix,” katanya.

Norzeha berkata demikian pada sidang media pengumuman MLM 2021 yang berlangsung secara maya hari ini.

Mengangkat tema Aura Baru, Lawak Terpadu, program realiti pertandingan komedi itu dijadual berlangsung selama 10 minggu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya setiap Jumaat mulai 15 Okt ini jam 9 malam.

MLM 2021 disertai oleh kumpulan Boro yang dianggotai Achey, Atu dan Fad, kumpulan Puteh (Mamak, Vicha dan Ali), 3OTAK (Phoon Chi Ho, Farid Azmier dan Parakash Daniel), R&R (Man dan Rahim), Tobat (Shuk Sahar, Bell Ngasri dan Ropie), Otai (Azlee, Ieda Moin dan Acong), Orix (Achok, Yassin dan Abu Mamu), Cawan (Aliff Yasraf, Wan Gegau dan Che Mat Raja Lawak), Tiro (Danial, Sharif dan Syaiful), Bahye (Zahid, Nizam Jentik Jentik dan Shashic) dan Taici (Chiwan, Tapai & Ilham).

MLM 2021 akan ditayangkan secara eksklusif di Astro Warna dan boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Program itu akan dikemudi oleh pengacara AC Mizal buat kali kesembilan berturut-turut.

Bagi terus memberi nafas baru pada MLM 2021, program itu juga memperkenalkan karakter juri misteri atau Naga Juri, yang juga merupakan salah seorang dari empat orang lagi juri tetap.

Simboliknya, Naga diangkat sebagai karakter pilihan disebabkan ia elemen atau watak yang melatari program Maharaja Lawak Mega sejak hari pertama ia diperkenalkan.

Kata Norzeha, pihaknya teruja kerana berasakan kolaborasi antara peserta MLM dilihat sebagai satu pendekatan yang cukup berani dan mampu mencetuskan semangat keharmonian.

“Ia secara tak langsung membantu mengukuhkan ikatan setia kawan sesama mereka serta memberi contoh persaingan sihat,” katanya.