Skip to main
Logo Malaysiakini

Yazmin Aziz sentiasa perbaiki penguasaan bahasa Melayu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyanyi Yazmin Aziz tidak menganggap kelemahan berbahasa Melayu menjadi kekangan untuknya muncul dalam mana-mana program televisyen, malah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk dipersenda.

Wanita berdarah kacukan Melayu-Filipina itu berkata, dia memang bersikap terbuka jika kekurangannya itu mengundang perhatian ramai.

“Saya dah bersedia dengan apa pun terutama jika kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya.

Malahan selebriti TikTok itu juga tidak mengangap kelemahan untuk bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda akan menghalangnya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni.

“Saya sentiasa cuba memperbaiki kelemahan yang ada sejak muncul sebagai artis. Saya tak ada ambil apa-apa kelas bahasa.

“Dulu lagi teruk, tapi sebab dah masuk dalam industri ini dan beberapa kali diberi kepercayaan untuk lakukan temu bual serta menonton banyak persembahan televisyen, kelemahan itu dapat diperbaiki sedikit demi sedikit.

“Saya masih boleh faham apa orang lain cakap. Cuma kadang-kadang dalam minda saya fikirkan lain, tapi yang keluar dari mulut jadi lain dan hancur,” katanya.

Gemar menimba ilmu

Yazmin berkata demikian pada sidang media Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021) yang berlangsung secara maya semalam.

Dia diberi kepercayaan untuk menggalas peranan sebagai hos pengacara program Live Plus (Live +) dan bakal bergandingan dengan penyampai radio Gegar, Issey Fazlisham.

MLM 2021 dijadual bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya mulai 15 Oktober ini, setiap Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Warna, Astro GO serta On Demand.

Untuk rekod, bapa kandung Yazmin, 20, berasal dari Filipina manakala ibunya berketurunan Melayu.

Yazmin yang fasih berbahasa Tagalog sering muncul dalam video sketsa komedi di samping watak diberi nama Bespren - juga dilakonkannya sendiri - untuk hiburan pengikut-pengikutnya di media sosial.

Yazmin sebelum ini juga pernah mendakwa dia pernah dikasari pelajar lelaki akibat tidak menguasi bahasa Melayu dengan baik dan ia berlaku selepas berpindah dari Filipina ke Malaysia.

Sementara itu, ditanya mengenai hala tujunya dalam bidang seni Yazmin berkata dia tidak menolak sekiranya lebih banyak tawaran diberi dalam bidang pengacaraan kerana percaya mungkin ia adalah rezeki yang sudah tertulis untuknya.

Katanya, dia gemar menimba ilmu baru sekiranya ia bersesuaian dengan bakat yang dimiliki.

“Kalau tawaran sebegitu yang datang, mengapa tidak? Saya juga tak akan berhenti.

"Bagi saya, ia (bidang pengacaraan) adalah suatu perkara menarik untuk dilakukan dan saya teruja melakukannya.

“Saya akan timba sebanyak mungkin pengalaman sebab nak tengok kemampuan diri sendiri untuk pergi lebih jauh dalam apa jua bidang yang saya ceburi,” katanya.