Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah, penolong pengarah, pelakon direman 2 hari kes dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengarah filem, penolongnya dan pelakon yang ditahan selepas disyaki terbabit penyalahgunaan dadah di Kuala Kangsar, Perak semalam direman dua hari bermula hari ini.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata ketiga-tiga suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dalam satu serbuan dilakukan pada 7.15 pagi semalam.

“Kesemua suspek berada di sebuah rumah di Taman Chandan Putri 2, di Kuala Kangsar. Polis menjumpai bahan disyaki dadah jenis ganja seberat 1.45 gram dan syabu dengan anggaran 0.38 gram.

“Turut dirampas, botol plastik yang diubah suai untuk kegunaan menghisap dadah. Nilai dadah dirampas bernilai RM270.

“Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara dan didenda,"  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelakon lelaki berusia 28 tahun itu, pengarah dan penolongnya masing-masing berusia 49 dan 46 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati suspek pertama dan kedua positif dadah tetra hydrocannibol (TCH) manakala suspek ketiga positif methamphetamine serta amphetamine.

“Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau masing-masing bersabit jenayah dan dadah," katanya.