Skip to main
Logo Malaysiakini

Superman baru kini digambarkan adiwira dwiseksual

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejak kemunculan Superman dalam siri komik kira-kira 80 tahun lalu, watak itu berjaya menyelamatkan bumi berkali-kali selain mempamerkan pelbagai kuasa luar biasa.

Dia juga pernah digambarkan sebagai mati namun berjaya hidup semula untuk terus menjadi penyelamat dunia.

Dan selama hampir seabad itulah Superman digandingkan dengan cinta sejatinya, Lois Lane. Namun, untuk siri terbaru - akan berada di pasaran Nov ini - watak adiwira dengan julukan Man of Steel itu akan diberi sisi yang baru.

Penerbitnya, DC, mengumumkan dalam edisi kelima siri komik Superman: Son of Kal-El itu watak yang gigih menyelamatkan dunia ini bukan lagi Clark Kent, tetapi anaknya, Jon Kent.

Jon ialah anak kandung Clark dan Lois Lane.

Kali ini Jon digambarkan seorang lelaki dwiseksual yang jatuh hati pada seorang wartawan lelaki, Jay Nakamura, selepas dia bergelut untuk melunaskan peranannya sebagai penyelamat.

Menurut DC, Nakamura - pertama kali muncul dalam siri itu sebelum ini - menjadi tempat Jon meluahkan perasaannya setiap kali menyedari betapa sukarnya menjadi Superman.

“Tetapi dalam edisi kelima bulan depan, Jon jatuh cinta pada wartawan berkenaan selepas mengalami kelecuhan sama ada dari segi mental atau fizikal selepas berusaha menyelamatkan setiap orang selagi mampu,” kata penerbit komik itu yang dipetik CNN.

Maklumat berkaitan plot akan didedahkan pada November depan, tetapi imej dari komik tersebut menunjukkan Jon dan Nakamura bercumbu dan duduk bersama-sama di atas sebuah bangunan.

Penulis siri berkenaan, Tom Taylor berkata, evolusi Superman baru ini masih kekal dengan karakter yang sering dipaparkan dan paling penting, mencerminkan pengalaman dilalui peminat komik.

“Superman membawa lambang harapan, kebenaran dan keadilan. Hari ini, lambang itu mewakili untuk sesuatu yang lebih.

"Hari ini juga, ramai orang boleh melihat diri mereka sebagai adiwira paling hebat dalam komik,” katanya.