Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Saleha fail perceraian, enggan dedah butiran lanjut

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Siti Saleha memfailkan permohonan cerai dengan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar di Mahkamah Rendah Syariah Klang, hari ini.

Pelakon itu ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi mengesahkan perkara berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

“Saya failkan cerai atas kebenaran mahkamah. Belum cerai lagi. Harap tidak keliru.

“Tu saja boleh komen. Terima kasih,” katanya ringkas.

Pemilik nama penuh Siti Saleha Mohd Baharum itu tidak mendedahkan alasan utama mengapa dia nekad untuk meninggalkan Ahmad Lutfi selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Prosiding dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim itu berlangsung kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Lutfi Azhar, 35 turut hadir prosiding berkenaan.

Aktres itu jarang berkongsi perihal rumah tangganya kepada umum.

Hasil semakan di Instagram mendapati, hingga kini, Siti Saleha, 31, belum memadam gambar-gambarnya bersama suami.

Kali terakhir aktres itu berkongsi gambar mereka bersama adalah pada 24 Mac lalu bersempena hari ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-35.

Siti Saleha dan Ahmad Lutfi mendirikan rumah tangga pada 28 Julai 2017 namun mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.