Skip to main
Logo Malaysiakini

Kru produksi filem maut kemalangan, tiga lagi parah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang kru produksi filem maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di kilometer 71, jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran simpang tiga Kampung Saujana, Setiu di Terengganu hari ini.

Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, yang juga pemandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian 1.15 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin berkata, ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakan sekerjanya dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

“Setibanya di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terlanggar tunggul kayu di kiri jalan menghala ke Kuala Terengganu.

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu berjaya mengeluarkan mangsa yang berada dalam kenderaan itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke unit forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat,” katanya dipetik Harian Metro.

Afandi berkata, penumpang hadapan, Kamarul Anuar Mohamed Nasir, 39, serta penumpang belakang, Amir Daniel Suhaimi, 23, mengalami kecederaan parah retak di bahagian leher.

“Sementara itu seorang lagi penumpang belakang, Nur Azizi Nazril Abd Aziz, 26, mengalami kecederaan parah putus tangan kiri,” katanya.

Menurut Afandi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.