Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Nordiana terbuka selesai kes saman di luar mahkamah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Siti Nordiana menganggap saranan diberikan mahkamah untuk kedua-dua pihak menyelesaikan kes saman fitnah terhadap lima rakannya tanpa melalui perbicaraan adalah satu tindakan baik.

Bahkan penyanyi itu berkata dia tiada masalah untuk menyelesaikan kes berkenaan melalui kaedah yang disarankan kerana tidak mahu terbeban dengan proses prosiding yang terlalu lama.

“Saya sedia berbincang dan selesaikan kes ini secara baik asalkan semua pihak mencapai kesepakatan.

“Sejujurnya saya tiada masalah jika kes ini mahu diselesaikan dengan cara itu.

“Lagipun saya tak mahu kes ini berlanjutan terlalu lama kerana saya percaya proses prosiding ini juga akan mengambil masa yang panjang,” katanya dipetik Harian Metro.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu, tuntutan saman RM2.5 juta pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram, mungkin diselesaikan secara baik.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Hakim Zulqarnain Hassan oleh peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak berbalah sebelum perbicaraan didengar hari ini.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan kedua-dua pihak dan menetapkan 20 Oktober ini bagi memaklumkan perkembangan kes.

Siti Nordiana selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Bagaimanapun, kata Siti Nordiana jika pihak defendan tidak bersetuju dia sudah bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes itu di mahkamah.

“Pendirian saya cukup jelas kerana saya ingin membersihkan nama yang tercalar, tapi saya tiada masalah jika kes ini mahu dibawa berbincang di luar mahkamah,” jelasnya.