Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mencari pengkhianat dan Matinya Seorang Patriot

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Ketahuilah bahawa hanya seni dapat membasuh dan membersihkan kekotoran politik. Filem Matinya Seorang Patriot pernah membuktikan kata-kata ini.

Malah seni yang terkandung di dalamnya memperlihatkan betapa seorang nasionalis Melayu terhormat, berpengaruh dan berimej serban di kepala turut tergelincir dalam memahamkan makna patriot serta jalan menuntut kebenaran.

Pada 5 Okt lalu pula, presiden parti terbesar orang Melayu ada berkata: “Bagi Adun parti yang mengkhianati kerajaan pimpin BN dan Umno, saya harap mereka bersedia menerima tindakan parti bagi menerima surat pemecatan. Saya berasakan persoalan utama sebagaimana berlaku di peringkat nasional dan juga berlaku di beberapa negeri, taat setia mana-mana wakil rakyat sama ada mereka terdiri dari Adun atau ahli parlimen hendaklah berfokus kepada taat setia kepada parti, terutama sekiranya kerajaan itu dinakhodai BN dan Umno.”

Kenyataan itu dikeluarkan selepas empat orang Adun yang diketuai bekas ketua menteri Melaka menarik balik sokongan yang telah mereka beri sewaktu sama-sama bersekongkol dalam gerakan khianat merampas kuasa kerajaan negeri yang mendapat mandat rakyat.

Seandainya teks-teks Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Sulalat al-Salatin, Hikayat Siak atau Tuhfat al-Nafis dibaca semula, pasti kita akan temui beberapa gejala amalan busuk yang menjahanamkan intergriti politik penguasa.

Sebutkan saja apa - daripada membunuh, melanun, merompak, merasuah, berkomplot atau mengkhianati - segala itu sudah lama ada dalam sejarah politik dan pentadbiran Melayu. 

Dalam erti kata lain, hal-hal busuk itu nampaknya sudah mandarah daging untuk orang Melayu sehinggakan ia dianggap sebagai suatu perkara biasa dan bebas daripada dosa.

Kegagalan yang kian tebal

Jangan tak tahu, sekiranya komplot busuk, fitnah dan strategi jahat politik Melayu itu gagal, mereka tidak akan teragak-agak untuk berkelahi sesama sendiri pula. Mereka sanggup berhabisan dalam perang saudara yang tentunya hanya mengakibatkan rakyat bawahan yang sudah suah menjadi semakin payah.

Dalam hal ini ada perkara penting yang wajar disorotkan.

Pertama, tentang bagaimana tanpa segan-silu dan secara terang-terangan seorang presiden parti Melayu itu mendefinisikan istilah khianat menurut seleranya sendiri.

Kedua, sikap masyarakat Melayu khususnya penyokong dan pendukung parti yang selalu pasrah terhadap segala kebusukan dan pembodohan yang ada di depan muka masing-masing.

Penyakit yang telah dikesan hidup lama dalam banyak hikayat Melayu ini terus membuat orang Melayu semakin tenat pada zaman orang lain semakin ke depan. Ia kemudian menambah tebalnya kegagalan kita ini.

Sebuah masyarakat yang gagal sebetulnya jauh lebih berbahaya daripada suatu kerajaan gagal.

Taat secara membuta, bisu walau ada suara dan hanya menerima apa saja yang disuapkan pemimpin - termasuk bekerjasama dengan lanun, perompak dan penindas rakyatnya - adalah inti pati makna di sebalik visual yang ada dalam Matinya Seorang Patriot.

Masyarakat gagal yang merelakan saja diri mereka diperbodoh dan dibohongi berkali-kali beginilah yang perlu dirawat dan diselamatkan segera.

Gambar hiasan

Hal ini dibangkitkan oleh penulis dan pengarah filem itu, Rahim Razali, yang bercerita seperti sebuah persembahan teater bersama reputasinya sebagai seorang pengarah filem yang memiliki kualiti “auteur” dalam setiap filem diarahkannya.

Matinya Seorang Patriot terbitan 1984 itu boleh dianggap unik kerana penghasilan tema bersama genre yang sedemikian rupa.

Bertolak dari dendam, filem itu sebetulnya mudah dan ringkas sahaja. Bagaimanapun kompleksiti perasaan daripada dendam yang mendalam dan sengaja diperbesar-besarkan itu menjadikan Matinya Seorang Patriot sarat dengan isu salah guna kuasa, skandal, penyelewengan, pengkhianatan dan jenayah seputar polemik pengaruh, kuasa dan perundangan.

Matinya Seorang Patriot membahaskan persoalan kuasa dan pengaruh yang dibentuk bersama kegilaan elitis dan bangsawan politik Melayu terhadap “politik perhitungan” yang tidak berkesudahan.

Tersalah tafsir makna patriot

Ingat: kemaruk mengadakan pilihan raya ketika Covid-19 baru mula reda adalah sebahagian daripada kegilaan politik perhitungan yang dimaksudkan. Juga jangan terkejut kalau penyokong mereka menyambut perintah presiden itu dengan kegembiraan dan semangat membara.

Hal itu kerana mereka percaya dengan adanya politik perhitungan itu segala sumber kuasa dan pengaruh yang ada dapat dikuasai.

Watak Haji Shahban (lakonan Mustapha Maarof) yang tampak patriotik itu sebenarnya hanyalah seorang politikus Melayu yang kurang waras. Patriotik yang diajar Haji Shahban kepada anak-anaknya ialah ketaatan tanpa boleh mempersoalkan. Ia kemudian menjadikan mereka contoh terbaik sebuah masyarakat Melayu yang gagal.

Pusat filem itu yang ditumpukan pada kelima-lima watak anak Haji Shahban memang suatu perlambangan yang jelas.

Walaupun mereka kelihatannya seperti pemuda Melayu yang mementingkan ilmu, memuliakan kehormatan dan memelihara maruah serta warisan, namun sebenarnya ada kebodohan amat pekat yang melekat dalam pemikiran masing-masing.

Mereka silap mentafsir makna patriot sebagaimana bapa mereka yang salah meletakkan nilai, keadilan dan kebenaran dalam jiwa.

Rahim mengheret kita untuk mewacanakan kebenaran. Matinya Seorang Patriot seakan cuba bertanya dan membincangkan perihal kebenaran dan siapa yang memegang neracanya.

Memang benar keadilan perlu dicari dan kebenaran harus didapatkan. Akan tetapi suasana zaman Melati Holding tidak lagi seperti mana apa yang dapat kita baca dalam buku-buku hikayat Melayu.

Kebusukan korupsi dan perangai politik buruk itu patutnya sudah lama orang Melayu campakkan ke sungai. Biar ia hanyut ke laut dan menjadi tenggalam sebagai keji.

Malangnya itu gagal dilakukan pendukung dan penyokong parti-parti Melayu. Sebab mereka tidak ubah seperti kelima-lima anak Haji Shahban yang buta dan tuli mata hati sehingga rela diperbodohkan seorang 'nasionalis' yang mereka percaya matinya sebagai patriot.

Padahalnya bukan. Mereka hanya tertipu dan diperbodohkan.


HARIS HAUZAH hanyalah seorang idealis politik yang yakin manusia hanya perlukan pasangan bukannya kerajaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.