Skip to main
Logo Malaysiakini

Khir Rahman rasa ralat kerana ketawa dengar kisah Fauzi Nawawi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebagai pengkarya Muslim, kata Khir Rahman, tidak mungkin dia tergamak memperlekeh atau meraikan isu adegan rogol dalam mana-mana naskhah.

Menurut pelakon itu, dia sendiri sering mempersoalkan mana-mana babak yang memaparkan adegan yang boleh dikelaskan sebagai seram dan ganas serta seks dalam sesebuah karya.

“Saya secara peribadi, sebagai pengkarya Muslim tak mungkin akan memperlekeh atau meraikan isu yang dibualkan kerana saya sendiri sering mempersoalkan isu ini, maksud saya, berkenaan babak 18 SG atau 18 SX dalam pengkaryaan seorang Muslim.

“Saya kesal dan ralat bahawa saya ketawa hanya pada gelagat yang bercerita (dan) tidak pada isunya,” katanya mengulas sedutan klip video lama membabitkan Fauzi Nawawi yang tular di media sosial sekarang.

Justeru, pemilik nama asal Khairulizam Abdul Rahman itu memohon maaf kepada Raja Farah dan suaminya, gara-gara klip video lama berkaitan pengalaman babak rogol diceritakan Fauzi Nawawi mengaitkan aktres itu tiba-tiba muncul di media sosial.

Selaku pengacara program Rumah No 107, Khir berkata, tujuan dia tampil dengan segmen sedemikian bukanlah untuk membuka aib sesiapa.

“Pertamanya syukur alhamdulillah kerana tuan empunya badan dan suaminya mempunyai hati yang mulia untuk memaafkan keterlanjuran saya.

“Saya ingin sekali lagi memohon maaf pada Raja Farah dan seluruh keluarganya. Saya 'sauh' dalam program ini bukan untuk membuka aib sesiapa,” katanya.

Minta henti tular serta-merta

Permohonan maaf itu pertama kali diucapkan Khir melalui Twitter malam tadi dan kemudian diulang kembali menerusi Instagram miliknya hari ini.

Dalam siri Rumah No 107, Fauzi diminta menceritakan pengalamannya yang paling membawa kesan dan pelakon itu menjawab ia adalah adegan rogol, lalu tidak semena-mena menyebut nama aktres Raja Farah Raja Aziz sebagai ‘mangsanya’ dalam babak berkenaan.

Bagaimanapun, dakwa Fauzi, dia terlebih dulu sudah meminta pihak produksi menapis mana-mana bahagian dirasakan tidak wajar sewaktu memperincikan adegan panas bersama Raja Farah dalam Anak Halal itu. 

Raja Farah beranggapan, pelakon lelaki yang menceritakan perihal babak rogol itu sebagai tidak menghormati sensitiviti, maruah dan sekali gus membuka aibnya sebagai wanita. Turut bersetuju pandangan itu, suami Raja Farah, Iskandar Ismail.

Khir juga mendakwa, video terbabit terlebih dulu disunting sebelum disebarkan.

Menurut Khir, 48, tugasnya sebagai pengacara memerlukan dia membongkarkan sebarang pengalaman atau kisah-kisah menarik untuk paparan umum.

“Sedikit pencerahan, sebagai 'sauh', tugas saya dan beberapa teman yang mengacara adalah untuk mencungkil cerita-cerita yang belum pernah diceritakan oleh tetamu di platform lain (rancangan lain).

“Ada masanya berjaya dicungkil, tapi ada masanya tidak. Kebanyakan tetamu sangat bersikap terbuka dan telah memberi kerjasama yang baik.

“Saya percaya mereka yang pernah menonton rancangan ini sangat hargai keterbukaan tetamu dalam berkongsi cerita. Kami ketawa dan menangis bersama menontonnya,” katanya.

Katanya, dia juga percaya semua pihak bersetuju untuk merakam terlebih dulu dan dibuat secara langsung.

“Tujuannya supaya ada bahagian atau keterlanjuran kata-kata yang boleh ditapis,” katanya.

Pada masa sama, Khir menggesa penyebaran video dihentikan serta-merta selain mempersoalkan mengapa program bertujuan untuk memberi pengajaran itu sebaliknya hal membuka aib yang ditularkan.

“Saya tak pasti jika ada pihak yang tak berpuas hati dengan sesiapa. Namun penularan video tersebut mesti dihentikan segera. Keterlanjuran dan maruah yang perlu kita sama-sama jaga.

“Sedikit persoalan: mengikut pengetahuan saya, kebanyakan tetamu berkongsi kisah nakal dan aib mereka demi menjadi pengajaran buat masyarakat, tapi mengapa ini yang ditularkan,” katanya.