Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes saman Siti Nordiana gagal selesai di luar mahkamah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Proses mediasi bagi menyelesaikan tuntutan saman penyanyi Siti Nordiana ke atas lima defendan gagal mencapai penyelesaian.

Justeru, kes saman tersebut berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Kata Siti Nordiana, tiada sebarang jalan penyelesaian ditemui ketika mediasi, namun enggan berkongsi punca kegagalan proses terbabit.

“Program mediasi tu saya tak boleh nak cakap apa yang dibincangkan. Kami menghormati kedua-dua pihak. Yang pasti tak ada jalan penyelesaian ketika mediasi itu. Jadi kita terus ke mahkamahlah,” katanya.

Peguam yang mewakili Siti Nordiana, Abang Azlan dari Abang Azlan & Associates berkata, kes itu terpaksa dilanjutkan kepada perbicaraan bagi menghormati kedua-dua pihak.

“Sebenarnya plaintif dan defendan sudah menjalani proses mediasi atas saranan mahkamah tetapi tiada kata persetujuan dan penyelesaian antara mereka. Jadi terpaksa sambung untuk perbicaraan penuh.

“Mengenai proses mediasi, apa yang boleh saya komen memang tak berjaya. Ini disebabkan kami menghormati pihak sebelah sana (defendan),” katanya dipetik Harian Metro.

Terdahulu, Siti Nordiana memfailkan saman terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan menyebarkan fitnah terhadapnya di platform Instagram.

Selaku plaintif, penyanyi Angkara itu menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi atau Aida G selaku defendan keempat dan kelima.

Dalam saman itu, Siti Nordiana, 36, menuntut penerbitan maaf melalui siaran akhbar, Instagram dan Facebook Live serta RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu turut menuntut permohonan maaf dilakukan secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar.

Sementara itu, peguam Azlan Razak dari Azlan Razak & Associates yang mewakili Lan Solo, Syura dan Nur Shiela berkata, terdapat terma-terma yang tidak dipersetujui, justeru, kes itu terpaksa dibawa kepada perbicaraan.

“Saya minta maaf. Kedua-dua pihak dan mahkamah bersepakat untuk tidak mendedahkan apa yang dibincangkan sepanjang proses mediasi,” katanya.