Sajat dakwa dikasari, dicabul penguat kuasa agama di Malaysia
Usahawan kosmetik buruan Malaysia mendakwa dia dikasari dan dicabul oleh penguat kuasa agama semasa berada di ngara ini.
Dakwanya, perkara itu berlaku di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Januari selepas diminta memberi keterangan terhadap aduan diterima mereka.
Dia mendakwa sekurang-kurangnya tiga lelaki menendang, menekannya dan meraba buah dadanya.
Sajat berkata demikian dalam wawancara dengan New York Times yang disiarkan semalam.
Dalam temu bual itu, Sajat juga mendakwa kejadian itu disaksikan ibunya sendiri, yang menegur dan mempertikaikan perbuatan berkenaan yang dilakukan oleh individu yang mempunyai ilmu agama.
Menurut Sajat, kejadian berlaku Januari lalu apabila dia dipanggil oleh Jais yang menerima aduan awam mengenai dirinya.
Sajat mendakwa pegawai terbabit mengatakan dirinya adalah seorang lelaki dan tiada masalah melakukan perbuatan itu.
"Mereka fikir wajar menyentuh bahagian peribadi dan payudara saya kerana mereka menganggap saya lelaki.
"Mereka tidak memperlakukan saya dengan belas kasihan atau kemanusiaan," kata Sajat.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, seorang pegawai Jais berkata tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung perkara itu tetapi mereka terbuka untuk sebarang siasatan.
Difahamkan, Sajat membuat dakwaan tersebut pada bulan Februari, yang mendorong Jais juga membuat laporan polis.
"Jais terbuka untuk siasatan dan menyerahkan kes itu kepada polis untuk disiasat," kata seorang pegawai jabatan agama Islam itu kepada Malaysiakini.
Sajat melarikan diri ke Thailand selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap selepas dia gagal hadir pada sebutan semula kesnya pada 23 Feb lalu.
Dia dikehendaki pihak berkuasa kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka.
Sajat dilaporkan ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 Sept lalu selepas Malaysia membatalkan pasportnya namun dia dibebaskan sehari kemudian dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343).
Sementara itu, Sajat memberitahu New York Times bahawa dia menjadi sasaran kerajaan dan penghijrahannya ke Australian adalah suatu yang sukar kerana terpaksa meninggalkan keluarga dan perniagaan.
"Saya selalu jadi kambing hitam untuk alihkan perhatian dari masalah yang lebih besar dan kes saya jadi sensasi kerana media sosial saya.
"Apabila saya mendapat perlindungan di Australia, saya merasa dilindungi untuk menjadi diri saya yang sebenarnya, dan untuk bebas.
"Saya merasa terperangkap di negara saya sendiri, di mana saya dilahirkan, kerana undang-undang di sana yang menjenayahkan saya dan menganggap saya seorang lelaki," katanya.
Tambah Sajat lagi, dia tidak akan kembali ke Malaysia selagi undang-undang dalam negara tidak dapat melindungi golongan trangender.
"Saya terperangkap dan terasing di Malaysia kerana sistem Syariah.
" Kehadiran saya, kewujudan saya, sedang dipersoalkan. Tetapi saya sangat tegas dalam identiti saya sebagai seorang wanita. Inilah saya, "katanya.
Malaysiakini telah menghubungi pihak polis dan sedang menunggu maklum balas mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai