Lawak rogol: Astro Warna mohon maaf
Saluran televisyen Astro Warna memohon maaf ekoran kontroversi klip video daripada salah sebuah program terbitannya yang tular baru-baru ini.
Klip video daripada program Rumah No 107 itu menerima kecaman hebat di media sosial selepas seorang pelakon menceritakan adegan rogol dalam sebuah filem.
“Kami di Astro Warna ingin menegaskan bahawa kami memandang serius akan perkara ini.
“Kami sentiasa berpegang kepada prinsip untuk tidak berkompromi dengan hal-hal berkaitan gangguan seksual dan diskriminasi ke atas wanita, sama ada dari segi perbuatan mahupun tutur kata (secara lisan).
“Kami memohon maaf atas sebarang keterlanjuran yang telah menyinggung hati mana-mana pihak dan sentiasa untuk lebih peka serta berhati-hati dalam setiap aspek pengisian kandungan program-program terbitan kami di masa hadapan,” kata Astro Warna dalam satu kenyataan hari ini yang disiarkan di laman berita Astro Awani.
Permohonan itu hadir setelah klip video menampilkan pelakon Fauzi Nawawi menceritakan pengalamannya melakonkan babak rogol dengan pelakon Raja Farah tular di media sosial.
Dalam program Rumah No 107 itu, Fauzi diminta menceritakan pengalamannya yang paling membawa kesan dalam dunia lakonan.
Mengaibkan, tak jaga kehormatan
Pelakon itu kemudian menceritakan pengalamannya melakukan adegan rogol dalam filem Anak Halal dan menyebut nama aktres Raja Farah sebagai ‘mangsanya’ dalam babak berkenaan.
Kata Fauzi, dia melakukan adegan itu dengan menahan dua perkara, iaitu 'nafsu' dan penat.
Babak itu, kata Fauzi, terpaksa dipotong atas permintaan ibu bapa Raja Farah.
Penceritaan oleh Fauzi itu turut diselang seli dengan jenaka daripada hos dan tetamu jemputan yang lain.
Rakaman yang terlebih dulu tular di TikTok itu mendapat pelbagai respon daripada netizen, dengan sebahagiannya mengaku tidak selesa apabila adegan itu diceritakan kembali kepada umum secara terperinci oleh Fauzi.
Selepas mendapat kecaman di media sosial, Fauzi memohon maaf kepada aktres berkenaan dan suaminya.
Raja Farah pula menyifatkan tindakan membicarakan babak berkenaan secara terbuka dengan menyebut namanya, sebagai mengaibkan dan tidak menjaga kehormatan dirinya sebagai wanita, terutamanya apabila dia kini sudah bergelar isteri.
Pun begitu, dia dilaporkan tidak mahu memburukkan keadaan.
Turut menerima tempias salah seorang hos rancangan itu, pelawak Shuk Sahar yang menerima kecaman di media sosial kerana dikatakan bersungguh-sungguh meminta Fauzi menceritakan tentang adegan berkenaan.
Seorang lagi hos, pelakon Khir Rahman telah membuat permohonan maaf dan meluahkan rasa kesal dan ralat kerana ketawa ketika babak itu diceritakan. Namun Khir menjelaskan dia hanya ketawa pada gelagat yang bercerita, bukan pada isunya.
Kata Khir, tidak mungkin dia tergamak untuk memperlekeh atau meraikan isu adegan rogol dalam mana-mana naskhah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai