Skip to main
Logo Malaysiakini

Istana Budaya mohon maaf proses jualan tiket konsert tak lancar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Berjanji masalah sama tidak akan berulang, Istana Budaya memohon maaf susulan timbul isu membabitkan penjualan tiket secara manual untuk Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Misha Omar semalam.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Zaifri Husin, mereka dalam persiapan untuk melangkah ke arah sistem penjualan tiket secara dalam talian.

Kata Zaifri, hal itu dijangka siap sepenuhnya bermula tahun depan.

“Kami ingin memohon maaf kepada orang ramai yang datang membeli tiket secara tunai semalam. Kami ambil maklum isu yang berlaku.

“Saya sendiri nampak orang beratur panjang di luar Istana Budaya. Saya meminta mereka masuk disebabkan cuaca panas dan hujan pada sebelah petang.

“Istana Budaya sedang dalam proses ke arah pendigitalan yang dijangka dilaksanakan tahun depan,” katanya.

Jelasnya, usaha itu sudah pun dimulakan sejak Jun lalu namun ia mengambil masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan tahun ini.

Zaifri berkata demikian pada sidang media Konsert Tanah Airku yang berlangsung di Istana Budaya hari ini.

Beri peluang lebih adil

Konsert Patriotik Tanah Airku menampilkan persembahan penyanyi Syamel, Ernie Zakri, Aina Abdul, Fitri Hiswady, dan Hairi Safwan dijadual berlangsung 6 Nov ini di Panggung Sari Istana Budaya.

Terdahulu, isu penjualan tiket Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Misha Omar menjadi bualan hangat di media sosial selepas ramai pembeli mengadu mereka gagal mendapatkan tiket sejurus tiba di kaunter semalam.

Misha melalui siaran langsung di Instagram malam semalam pula menumpahkan air mata apabila mengetahui ada peminatnya gagal membeli tiket dan bertindak melepaskan rasa marah mereka.

Konsert berkenaan dijadual berlangsung 30 Okt ini.

Susulan itu, Zaifri berkata, pihaknya menetapkan syarat menjual empat tiket kepada setiap pembeli berikutan insiden kekecohan tiket di kaunter semalam.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi membuka peluang sama adil kepada lebih ramai pihak untuk mendapatkan tiket konsert anjuran Istana Budaya.

“Hasil perbincangan dengan pihak pemasaran Istana Budaya, kami mengambil keputusan untuk mengehadkan penjualan iaitu empat tiket setiap seorang.

“Kami harap keputusan ni boleh beri peluang kepada orang ramai untuk membeli dan menikmati persembahan dibawakan Istana Budaya tahun ni,” katanya.