Skip to main
Logo Malaysiakini

Aina Abdul teruja nak guna mikrofon puluhan ribu di Istana Budaya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Teruja akhirnya diberi kesempatan menyerlahkan bakat di pentas Istana Budaya, Aina Abdul mengakui dia tidak sabar untuk menggunakan mikrofon yang baru dibelinya pada harga mencecah puluhan ribu ringgit.

Pun begitu, penyanyi itu berkata, bukan niatnya untuk riak sebaliknya memang sudah lama mengimpikan untuk mengadakan persembahan pentas dengan kualiti vokal yang mantap di panggung berprestij tersebut.

Justeru kata Aina, setimpal dengan usahanya bermatian-matian mengumpul wang untuk membeli set peralatan jenama Sennheiser itu, dia juga pada masa sama tidak ingin menghampakan peminat pada Konsert Patriotik Tanah Airku, 6 Nov ini.

“Saya akan gunakan mikrofon tu buat pertama kali di Istana Budaya sebab dah dapat peluang julung kali buat persembahan di situ. Memang inilah saat yang ditunggu-tunggu.

“Tiga tahun saya kumpul duit untuk beli selepas terbit lagu Sumpah, sampai rasa macam nak mati bayar harga mikrofon tapi ni semua demi memudahkan tugas saya menyanyi dan berasa selesa.

“Dan pada masa sama saya berasa gemuruh lebih daripada semua persembahan sebelum ni,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu, walaupun bagi segelintir pihak ia cuma sebuah mikrofon, namun baginya alat itu cukup bermakna dan memberi motivasi untuk dia menjadi seorang penyanyi yang bagus.

“Saya lihat penyanyi antarabangsa Taylor Swift ada mikrofon boleh ditukar-tukar ikut warna baju. Penyanyi tempatan kita pun ramai yang memiliki mikrofon dibuat khas seperti Siti Nurhaliza dan Misha Omar.

“Bagi saya, ini adalah satu motivasi dan saya perlu memilikinya agar dapat berikan persembahan berkualiti,” katanya.

Janjikan persembahan istimewa

Aina berkata demikian pada sidang media Konsert Patriotik Tanah Airku yang diadakan di Istana Budaya semalam.

Selain Aina, turut menyerikan persembahan Orkestra Simfoni Kebangsaan itu nanti ialah Syamel, Ernie Zakri, Fitri Hiswady dan Hairi Safwan serta pendeklamasi puisi, Ahmad Shukri Abdullah.

Menurut Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-35 itu, keterujaannya itu sudah lama dipendam sejak dia tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya memang peminat tegar Istana Budaya. Dulu memang selalu beratur beli tiket nak tengok konsert.

“Saya sering datang menyaksikan persembahan di Istana Budaya lepas habis SPM pada 2012,” katanya.

Mengulas persembahannya nanti, Aina berkata, lagu-lagu yang akan dibawa bukan semata-mata berkonsep patriotik tetapi turut berkaitan kebangkitan dan perjuangannya dalam kehidupan.

“Ni yang saya nak ketengahkan. Pengarah muzik reka konsert bersesuaian dengan setiap penyanyi.

"Saya akan bawa lagu mempunyai konsep kebangkitan tapi ia bukan mengenai cinta semata-mata.

“Persembahan nanti sangat istimewa, saya janji, penonton tidak akan berasa bosan menyaksikan persembahan kami. Ia juga satu permulaan yang baik untuk saya, sebelum ni banyak buat persembahan komersial saja,” katanya.