Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin Rindu tingkat kesedaran masyarakat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Keputusan kerajaan membenarkan kegiatan rentas negeri bermula pada 11 Oktober lalu disambut penuh gembira oleh rakyat Malaysia, antaranya di kalangan mereka yang sudah lebih setahun tidak bertemu ibu bapa dan keluarga.

Kebenaran itu juga selepas kadar vaksinasi lengkap di seluruh negara membabitkan golongan dewasa mencapai 90 peratus.

Ia membuktikan tahap kesedaran yang tinggi masyarakat terhadap kepentingan suntikan vaksin sebagai pertahanan terhadap wabak Covid-19, walaupun diakui masih ada segelintir yang keberatan untuk mengambilnya.

Bertepatan dengan kempen vaksinasi kerajaan, Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia melancarkan lagu Vaksin Rindu sebagai usaha agar orang ramai yang belum mendapatkan vaksin berbuat sedemikian.

Lagu itu juga bertujuan menaikkan semangat selepas musibah yang menduga kita sejak wabak ini mula menular.

Vaksin Rindu dicipta Akhmas dan Yasin Sulaiman, manakala lirik hasil nukilan Suhaimi, Ghazali dan Yasin.

Menceritakan penglibatannya dalam lagu tersebut, Yasin berkata dia pada mulanya hanya ditawarkan untuk menyanyikan lagu itu, sebelum terlibat dalam melodi dan liriknya.

Katanya, dia tidak berfikir panjang ketika ditawarkan untuk menyanyikan Vaksin Rindu.

“Saya mendapat tawaran menyanyikan lagu ini bulan lepas. Apabila saya dengar melodi dan baca lirik, saya tak fikir panjang untuk kata ya. Saya terus terima dan nak buat.

“Dalam masa sama, saya lebih kepada nak sokong kempen dijalankan mereka. Saya nak raikan matlamat kempen mereka menerusi lagu Vaksin Rindu.

Melihat usaha mereka ini, ia sesuatu yang bagus kerana ada kesedaran dan mahu tingkatkan kesedaran kepada masyarakat terhadap suntikan vaksin di kala virus Covid-19 masih melanda negara,” katanya dalam kenyataan.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Yasin berkata dia juga turut memberikan sedikit sentuhan pada melodi dan lirik.

“Pada awalnya memang saya kena menyanyi saja. Apabila tengok lirik, ia cute juga.

“Lagu sederhana dan santai saja. Disebabkan karya ini daripada NGO, saya tidak boleh layan mereka macam orang lain. Jadi, saya ada baiki sedikit pada bahagian lirik supaya lagu itu lebih baik hasilnya.

“Sebelumnya saya minta izin dan mereka okay. Ketika dapat tawaran itu pun, muzik sudah siap. Jadi, saya bantu dalam proses mixing sedikit. Alhamdulillah, hasilnya diharap dapat diterima baik peminat dan sama-sama kita menghayati lagu ini,” katanya lagi.

Pandangan tentang antivaksin

Ditanya mengenai kewujudan golongan yang masih belum divaksin atau menolaknya, Yasin membangkitkan kelegaan apabila kadar vaksinasi bagi populasi dewasa sudah mencapai 90 peratus.

Pada masa sama, dia mengakui masih ada - termasuk orang di sekelilingnya - yang belum mengambil vaksin atas pelbagai sebab dan alasan.

"Kita tak boleh paksa mereka...Cuma pengambilan vaksin ini adalah untuk kesedaran bersama bagi melindungi diri kita,” katanya lagi.

Dia juga berkata tiada keperluan untuk saling bergaduh berhubung iu tersebut di media sosial.

“Saya tak raikan pendapat mereka, tapi saya hormat pendirian mereka.

“Kalau tengok sekarang pun kes harian kita makin turun. Tak perlu nak kecoh atau saling bergaduh di media sosial. Pada akhirnya yang tak nak ambil tetap tak nak ambil,” katanya lagi.

Sementara itu, Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia berharap lagu Vaksin Rindu yang diterbitkan mereka dapat menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia selepas hampir dua tahun bergelut dengan situasi pandemik Covid-19.

Lagu Vaksin Rindu itu juga bertepatan dengan NGO berkenaan yang aktif dan giat memberi sumbangan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Diharapkan lagu dapat menaikkan semangat selepas musibah yang menduga kita,” katanya.