Skip to main
Logo Malaysiakini

Penolong pengarah Rust pernah dipecat kerana isu keselamatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penolong pengarah yang menyerahkan senjata berisi peluru kepada pelakon Alec Baldwin sehingga membawa kepada tragedi berdarah Khamis lalu pernah dipecat daripada produksi lain kerana melanggar prosedur keselamatan senjata api pada 2019.

Perkembangan terkini itu didedahkan seorang penerbit filem susulan laporan bahawa kru penggambaran menggunakan senjata yang sama untuk latihan sasaran peluru pada hari Halyna Hutchins meninggal dunia.

“Dave Halls dipecat dari set penggambaran Freedom's Path dua tahun lalu selepas seorang kru penggambaran mengalami kecederaan ringan apabila tembakan dilepaskan tiba-tiba daripada sepucuk senjata.

“Halls dikeluarkan serta-merta selepas tembakan pistol prop itu.

"Pihak penerbitan enggan menyambung penggambaran sehinggalah dia beredar. Laporan insiden dibuat dan difailkan pada masa itu,” katanya dipetik AFP.

Halyna terbunuh pada 21 Okt lalu di set penggambaran filem berbajet rendah, Rust, apabila Baldwin melepaskan tembakan menggunakan senjata yang menurut Halls adalah selamat.

Perhatian kini tertumpu kepada Halls dan seorang pengendali senjata berusia 24 tahun, Hannah Gutierrez-Reed, selepas indisend yang berlaku di set berhampiran Santa Fe, New Mexico itu.

Kemalangan lain pernah berlaku

Tugas seorang pengendali senjata adalah untuk membekalkan dan menyimpan senjata dengan selamat di set, memastikan ia dicatat pada setiap masa dan dikunci apabila tidak digunakan.

Namun laman sesawang The Wrap melaporkan pada 25 Okt lalu, beberapa kru penggambaran menggunakan senjata berkenaan beberapa jam sebelum Hutchins terbunuh.

Penggambaran Rust dihentikan sehingga siasatan selesai.

Halyna Hutchins (kiri) yang terbunuh akibat terkena tembakan minggu lalu.

Walaupun terdapat langkah keselamatan diambil, beberapa kemalangan meragut nyawa pernah berlaku dalam insiden berbeza sebelum ini membabitkan senjata prop di set penggambaran.

Ketika penggambaran filem The Crow pada 1993, pelakon Brandon Lee - anak kepada pelakon seni pertahanan diri Bruce Lee - terbunuh dalam kemalangan membabitkan senjata prop.

Untuk rekod penggunaan senjata api yang berisi peluru kapur juga sebenarnya boleh membawa maut jika dilepaskan dari jarak dekat. 

Pada 1984, pelakon John-Eric Hexum bermain-main dengan senjata prop dalam set filem Cover Up: Golden Opportunity apabila di mengacukan pistol ke kepalanya dan menarik picu.

Senjata api itu kemudian meletup menyebabkan dia terbunuh.

Penerbit Rust tidak menjawab beberapa permintaan AFP untuk mendapatkan komen.