Joe Flizzow terpaksa 'lantang' lepas tiada pemimpin bersuara
Perlu ada seseorang bersuara dan bertindak tegas bagi mengolah salah faham orang ramai terhadap isu menganggap jenaka lucah sebagai sesuatu yang biasa, kata Joe Flizzow.
Komposer dan penyanyi hip hop terkenal itu menjelaskan, dia sebenarnya bukanlah seseorang yang suka bersuara lantang bagi menyuarakan isu-isu semasa.
Namun, katanya, tindakan itu terpaksa diambil memandangkan tiada seorang pemimpin pun tampil ‘mencelah’ demi kebaikan bersama selepas klip video berkenaan isu itu tular dan meraih perhatian ramai.
“Pertama sekali, saya nak tegaskan, bukan sikap saya untuk bersuara lantang seperti pada hari itu.
“Seseorang perlu bercakap (ambil tindakan) dalam hal ini. Saya bukanlah berpihak pada mana-mana politik, tapi bagi saya, masalah ini berat.
“Tapi saya lihat selepas beberapa jam, tiada suara daripada pemimpin-pemimpin kita (sedangkan) ini adalah perkara serius, jadi, saya suarakan,” katanya.
Kata Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, menganggap jenayah seksual sebagai sesuatu yang lucu atau boleh dijenakakan adalah keterlaluan dan wajar ditegur agar ia menjadi teladan buat yang lain.
Teguran sebagai rakyat Malaysia
Pada masa sama Joe menegaskan dia tidak berniat untuk memberikan komen mengenai individu yang terbabit.
"Bagi saya ada perkara kita boleh bergurau, tapi perkara ni sudah melampaui batas.
“Orang patut pandang serong dengan kelakuan begitu,” katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media Start Your English Journey With Joe Flizzow yang berlangsung secara maya petang tadi.
Ia merupakan program untuk menjadikan kandungan pelajaran Bahasa Inggeris lebih menarik. Melaluinya Joe akan membantu proses pembelajaran melalui aplikasi yang akan dilancarkan pada hari ini.
Aplikasi SOLS Edu itu - yang dibangunkan SOLS 24/7 - memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar untuk mendalami subjek Bahasa Inggeris.
Terdahulu, Joe, 42, antara individu yang tampil menyuarakan perasaan marah dan tidak puas hati di laman sosialnya berkenaan isu rogol yang dijadikan bahan jenaka melalui sebuah program televisyen.
Kejadian itu berlaku selepas tular sebahagian daripada klip video temu bual lama membabitkan Fauzi Nawawi di media sosial baru-baru ini.
Ketika berkongsi kisahnya dalam Anak Halal, pemilik nama penuh Mohd Fauzi Mohd Nawawi itu memperincikan adegan ‘panas’ dilakokannya dengan mengaitkan nama seorang aktres.
Rata-rata netizen marah dan menganggap perkara itu sebagai membuka aib serta tidak sesuai untuk dikongsikan kepada umum.
Fauzi, 48, bagaimanapun sudah memohon maaf dan mengakui dirinya jahil kerana terlanjur membicarakan soal itu.
Joe berkata, industri hiburan tidak patut dipersalahkan secara menyeluruh dalam soal itu sebaliknya sikap seseorang dalam hidup bermasyarakat yang perlu diambil kira.
“Hal ni tiada kena mengena dengan industri tapi kelakuan kita sebagai satu masyarakat. Saya bukan dari industri filem tapi muzik.
“Saya bukan buat teguran sebagai artis kepada artis lain, tapi sebagai rakyat Malaysia kepada rakyat yang lain.
“Seseorang lelaki itu kena ada logik akal. Apa pun, beringatlah, bahasa melambangkan bangsa,” kata penyanyi Havoc itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai