Beri teguran bukan dengan cara memalukan - Joe Flizzow
Tidak salah untuk menegur tatabahasa atau sebutan bahasa Inggeris seseorang, namur biarlah teguran itu dibuat dengan cara tidak memalukan, kata Joe Flizzow.
Bagi komposer dan penyanyi hip hop terkenal itu, menjadi satu kesalahan sekiranya grammar Nazi (individu yang gemar mengkritik tatabahasa orang lain) sengaja mentertawakan seseorang kerana penggunaan bahasa Inggeris yang tidak sempurna.
“Saya rasa salah untuk mentertawakan atau memperlekehkan seseorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris,” katanya.
Pemilik nama sebenar Johan Ishak itu yang selesa berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian mengakui dia sendiri masih melakukan kesilapan tatabahasa terutama dalam soal penulisan lirik lagu.
“Saya dibesarkan oleh ibu bapa yang pernah bekerja sebagai penulis. Ibu saya pun selalu memperbetulkan kesalahan bahasa saya.
“Disebabkan saya selalu dengar lagu hip hop, kadang-kadang struktur bahasa dalam lagu yang saya tulis banyak silap. Ibu tegur tapi saya tak pernah rasa tersinggung,” katanya.
Joe berkata demikian pada majlis pelancaran aplikasi SOLS Edu yang menawarkan program pembelajaran yang merangkumi kemahiran asas Bahasa Inggeris Untuk Pekerjaaan (Work Essential English) semalam.
Penyanyi Kongsi itu berkata, dia mempunyai pendekatan tersendiri untuk menegur mana-mana rakannya yang melakukan kesalahan dalam bahasa Inggeris.
“Kadang-kadang ada pekerja saya buat kesilapan bahasa Inggeris, saya tarik dia ke tepi dan betulkan.
“Tujuan saya supaya dia tak ulang kesilapan sama. Begitu juga sekiranya saya yang mendapat teguran, saya tak rasa malu,” katanya.
Sementara itu, mengulas peranannya dalam aplikasi pembelajaran SOLS Edu, Joe, 42, berkata, dia menjalin kerjasama kerana ia cara terbaik untuknya menyumbang kepada masyarakat.
Jelas anak kepada bekas penyampai berita TV3, Ishak Nengah itu, aplikasi tersebut memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk belajar bahasa Inggeris secara percuma.
“Selepas mengeluarkan album pertama Too Phat yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, saya menerima surat daripada seorang cikgu di Kelantan.
“Dia berterima kasih kerana berjaya meraih perhatian anak muridnya untuk belajar Bahasa Inggeris selepas mendengar lagu kami,” katanya.
Menurut Joe, selepas bercakap dengan Pengasas SOLS 24/7, Raj Ridvan Singh atau Teacher Raj (TR), jelas bahawa mereka mempunyai matlamat yang sama dalam membantu orang muda mencapai potensi penuh mereka.
“Ketika itu saya tahu bahawa bekerjasama dengan SOLS Edu dalam projek ni dengan beri tunjuk ajar kepada pelajar melalui aplikasi SOLS Edu adalah cara terbaik untuk saya menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai