Lepas nama diharamkan, Namewee dakwa bukan anti-China
Penyanyi dan penulis tidak lekang dek kontroversi Namewee didakwa menghina China melalui lagu hit terbarunya, Fragile hingga menyebabkan dia diharamkan negara itu.
Kekecohan timbul susulan pelancaran lagu Mandarin yang menampilkan kolaborasi penyanyi kelahiran Australia-China, Kimberly Chen.
Lagu ditulis Namewee itu didakwa mengandungi topik sensitif seperti penghinaan terhadap pemimpin China, Xi Jinping, berkenaan penapisan (censorship), Covid-19 dan etnik Uighur.
Video muzik Fragile dipenuhi objek berwarna merah jambu, hiasan dan kostum. Selain itu, tindakan Namewee memasukkan elemen kelawar dalam video tersebut dilihat sengaja menjentik sensitiviti China berhubung asal usul Covid-19.
Walaupun Namewee tidak menyebut mengenai China secara langsung dalam liriknya, tema merah jambu dalam video muzik dilihat sinonim dengan gerakan nasionalis Cina yang dikenali sebagai Little Pink.
Bagaimanapun, tampil membela diri melalui Instagram miliknya, Namewee, 38, menjelaskan dia bukan seorang anti-China malah tidak pernah menyesal kerana menerbitkan lagu berkenaan.
“Saya [etnik] Cina. Adakah saya menghina diri saya sendiri?” kata Namewee dipetik The Variety.
Anak kelahiran Muar, Johor itu terkenal dengan rekod prestasinya yang panjang sebagai individu sering mencetuskan kontroversi di dalam mahupun di luar negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Rapper itu juga pernah ditangkap dan ditahan beberapa kali kerana lagu dan video muziknya didakwa menghina agama dan kaum lain.
Untuk rekod, lagu itu disiarkan di laman YouTube pada 15 Okt, dan hasil semakan Malaysiakini setakat laporan ditulis petang ini mendapati video muzik berkenaan meraih hampir 20 juta tontonan.
Menjelaskan lebih lanjut, Namewee berkata, dia sebenarnya pencinta budaya China dan selama bertahun-tahun sering mengembara ke negara itu.
Katanya lagi, dia tidak berdendam dengan rakyat China sebaliknya mendakwa menghormati rakan-rakannya dari kalangan artis yang berasal dari negara itu.
“Saya tak mahu pergi ke China kerana terlampau banyak penapisan dan kekangan. Saya khuatir sekiranya ia akan menjejaskan kreativiti dan hasil kerja saya.
“Saya tak mahu kehilangan idea asal kandungan yang saya hasilkan. Tu saja,” katanya.
Namewee sebelum ini diharamkan di aplikasi Weibo pada Ogos lalu kerana berkongsi catatan mengenai lapan cadangan agar Taliban memperkukuh pemerintahannya, yang semuanya mencerminkan dasar China.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai